Beckham kini bergelar Sir

LONDON: Legenda bola sepak England, David Beckham akhirnya menerima gelaran kebesaran ‘Sir’ selepas dikurniakan Darjah Kesatria (Knighthood) oleh Raja Charles di Istana Windsor, hari ini sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam dunia sukan dan kerja amal selama beberapa dekad.

Bekas kapten skuad kebangsaan berusia 50 tahun itu menerima anugerah berprestij itu lebih 20 tahun selepas dianugerahkan penghormatan diraja lain atas jasanya dalam bola sepak.

Beckham yang juga peminat setia institusi diraja Britain, tampil segak dalam sut rekaan isterinya, Victoria Beckham, pereka fesyen yang juga bekas anggota kumpulan pop terkenal Spice Girls.

Ketika majlis berlangsung, Raja Charles kelihatan tersenyum dan ketawa kecil sambil berbual mesra dengan Beckham.

“Saya menangis apabila kali pertama diberitahu akan menerima anugerah ini.

“Ia detik besar buat keluarga kami dan amat bermakna,” katanya sambil berseloroh beliau tidak kisah jika anak-anaknya kini memanggilnya “Sir Dad”.

Beckham turut meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan bersejarah itu.

“Saya sangat berbangga menerima penghormatan ini. Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana di East End, London, dengan cita-cita mahu menjadi pemain bola sepak profesional dan kini saya berdiri di Istana Windsor bersama institusi diraja paling berpengaruh di dunia.

“Ia tidak mungkin menjadi lebih baik daripada ini,” katanya.

Dilahirkan di timur London, Beckham membuat penampilan sulung Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United pada 1995, dua tahun selepas menyertai kelab itu sebagai pemain remaja.

Sepanjang karier gemilangnya, beliau memenangi enam kejuaraan liga, dua Piala FA dan satu Liga Juara-Juara, sebelum meneruskan karier di Real Madrid, LA Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain.

Beckham bersara pada 2013 selepas meraih 115 penampilan bersama England, dikenali kerana sepakan percuma tepat serta hantaran silang berkualiti tinggi.

Selain legasi di padang, beliau turut menjadi antara atlet paling berpengaruh dan komersial pada zamannya, bekerjasama dengan jenama global seperti Adidas, Armani, H&M dan Pepsi, serta berkhidmat sebagai duta muhibah UNICEF sejak 2005. – REUTERS

More From Author

Polis Kuala Lumpur giat memburu Namewee

Tunku Mahkota Ismail dakwa FIFA bermotif politik hukum pemain