Tipu: Pengarah warga China didenda RM20,000

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat warga China didenda RM20 000 atas kesalahan memperdaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor babitkan pembelian empat kontena yang bukan dilakukan syarikat miliknya, pada 2022.

Tertuduh, Chen Zhenlong, 48, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Zhenlong yang juga pengarah syarikat pelaburan didakwa bersubahat memperdayakan JAS Johor bahawa syarikatnya iaitu Ascent Asia Industries Sdn Bhd, yang merupakan syarikat kitar semula plastik bukan pembeli empat kontena tersebut sebaliknya adalah sebuah syarikat lain pada 19 Januari 2022.

Berdasarkan tindakan tersebut, tertuduh dengan curangnya mendorong Pengarah JAS untuk tidak meneruskan tindakan terhadap syarikat Ascent Asia Industries Sdn Bhd di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574), boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli sementara tertuduh diwakili peguam Jeremy Chan Chun Hong.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 jika gagal boleh dipenjarakan tiga bulan.

Pada September lalu, Zhenlong membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim yang sama. – Majestic

More From Author

Piala FA: JDT kecewakan Kuching City 2-1

Imigresen berkas 29 warga asing kerja di restoran