Imigresen berkas 29 warga asing kerja di restoran

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri ini menahan 29 warga asing yang bekerja di beberapa restoran sekitar di Taman Pelangi, di sini semalam .

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Op Selera bermula pukul 7 petang itu dilakukan sepasukan Pegawai Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor setelah menerima maklumat awam serta hasil risikan.

“Operasi ini dilakukan selepas mendapai ada restoran yang dipercayai menggajikan pekerja warga asing secara haram. Mereka melanggar syarat permit kerja dan pas lawatan ke negara ini.

“Operasi ini juga dijalankan bagi melindungi dan mencegah penggajian pekerja asing tanpa izin di sekitar negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi itu menumpukan pemeriksaan dokumen pengenalan diri, permit kerja serta pas lawatan kerana dipercayai ada warga asing melanggar syarat yang ditetapkan.

Beliau memberitahu, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 51 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram.

Tambah Mohd Rusdi, hasil pemeriksaan terhadap 46 individu, seramai 29 warga asing terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh, empat lelaki (Indonesia), lapan lelaki (Myanmar), lima lelaki (Pakistan), dua lelaki (Filipina), empat (warga Myanmar), seorang wanita (Indonesia) dan tiga wanita (Filipina) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Selain itu ujarnya, seorang pembantu pengurus premis warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, ini kerana suspek menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran manakala tiga individu lain turut dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan.

Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

“JIM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat serta menggalakkan kerjasama berterusan dalam membanteras kesalahan melibatkan PATI, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini.

“Selaras aspirasi Kerajaan Madani, JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan permit kerja dan memastikan keselamatan serta integriti negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Majestic

More From Author

Tipu: Pengarah warga China didenda RM20,000

Messi impi kembali ke Camp Nou untuk ucap selamat tinggal