BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa tiga mayat yang diterima dari Gaza melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) semalam bukan tebusan yang disimpan di wilayah Palestin itu.
Jurucakap tentera Israel memberitahu AFP, hasil analisis forensik mendapati mayat berkenaan bukan milik mana-mana daripada 11 tebusan yang disahkan meninggal dunia, tetapi masih belum diserahkan di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimediasi oleh Amerika Syarikat (AS).
Sejak gencatan senjata bermula, sebanyak 17 mayat dikembalikan terdiri 15 warga Israel, seorang warga Thailand dan seorang warga Nepal.
Selepas gencatan senjata bermula pada 10 Oktober lalu, kumpulan Hamas sudah menyerahkan 20 tebusan yang masih hidup dan memulakan proses pemulangan mayat tebusan yang terkorban.
Israel bagaimanapun menuduh Hamas melanggar perjanjian kerana didakwa gagal menyerahkan segera baki mayat, manakala kumpulan pejuang Palestin itu menjelaskan proses berkenaan mengambil masa kerana perlu mencari cebisan mayat yang tertimbus di bawah runtuhan di Gaza. – AFP
