China hantar angkasawan termuda, tikus ke angkasa lepas

JIUQUAN: Tiga angkasawan China, termasuk angkasawan termuda negara itu, berjaya tiba di Stesen Angkasa Tiangong pada Sabtu bersama empat tikus makmal.

Menurut agensi berita Xinhua, kapal angkasa Shenzhou-21 berlabuh pada jam 3.22 pagi, kira-kira tiga setengah jam selepas berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, dengan roket Long March-2F sebagai penggerak utama misi berkenaan.

Misi itu diketuai Komander Zhang Lu bersama jurutera penerbangan, Wu Fei, 32, yang juga angkasawan termuda China dan pakar kargo, Zhang Hongzhang, 39.

Wu yang pertama kali ke angkasa mengakui berasa amat bertuah kerana terpilih dalam misi penting itu.

Empat tikus turut dibawa bersama untuk eksperimen di orbit pertama untuk China, yang membabitkan haiwan itu.

Kru Shenzhou-21 dijangka melakukan aktiviti berjalan di angkasa, memasang pelindung anti serpihan di Tiangong dan menjalankan aktiviti pendidikan sains untuk menarik bakat angkasa masa depan.

Stesen angkasa Tiangong menempatkan tiga angkasawan yang diganti setiap enam bulan dan menjadi projek utama China untuk mengejar Amerika Syarikat (AS) serta Russia.

Dalam pada itu, China juga berhasrat menghantar angkasawan ke bulan menjelang akhir dekad ini dan membina pangkalan tetap di permukaannya.

Pada Khamis, Agensi Angkasa China (CMSA) mengumumkan beberapa ujian penting sebagai persiapan untuk misi Bulan 2030.

Sejak 2011, China tidak dibenarkan menyertai Stesen Angkasa Antarabangsa kerana AS melarang NASA bekerjasama dengan Beijing.

China kemudian bekerjasama dengan negara lain dan menandatangani perjanjian dengan Pakistan pada Februari lalu untuk merekrut angkasawan asing pertama. – AFP

More From Author

Tentera Israel dakwa 3 mayat diterima dari Gaza bukan tebusan

Nabila tak harap menang trofi FFM 34 malam ini