Rooney akui bosan di puncak prestasi

MANCHESTER: Legenda Manchester United, Wayne Rooney, mengakui pernah berasa ‘bosan’ ketika dua musim terbaik bersama kelab itu walaupun meledak 68 gol sepanjang tempoh berkenaan.

Bekas penyerang England berusia 40 tahun itu mendedahkan, dia tidak menikmati permainan biarpun berada di kemuncak prestasi sebagai penyerang utama di bawah kendalian Alex Ferguson.

Ferguson menggunakan Rooney di pelbagai posisi sepanjang 13 tahun kariernya di Old Trafford, namun pada musim 2009-10 dan 2011-12, beliau diletakkan sepenuhnya sebagai penyerang No 9.

“Saya ada dua musim bermain sebagai No 9, menjaringkan 34 gol setiap musim tetapi saya berasa bosan.

“Saya turun beraksi dan tidak menikmatinya. Saya suka bermain bola sepak dan terbabit dalam permainan, bukan sekadar menunggu peluang di depan gol,” kata Rooney dalam rancangan The Wayne Rooney Show terbitan BBC.

Rooney menjelaskan menjadi penyerang yang perlu menunggu peluang adalah satu kemahiran sukar, memerlukan kesabaran tinggi untuk menanti masa sesuai melakukan penyudah.

Beliau menyebut Erling Haaland sebagai contoh penyerang moden yang bijak menunggu peluang, namun mengakui lebih gemar terbabit dalam gerakan dan hantaran.

“Saya tidak pernah minta Sir Alex tukar posisi saya. Saya suka menjaringkan gol tetapi bermain di depan memerlukan banyak kesabaran.

“Kadang-kadang saya bermain bersama Berbatov dalam satu peranan, kemudian bersama Tevez dalam peranan lain. Ia menuntut saya untuk jadi fleksibel demi pasukan,” katanya.

Pada musim 2009-10, Rooney menjaringkan 25 gol Liga Perdana Inggeris, lima dalam Liga Juara-Juara Eropah, dua dalam Piala Liga, dan satu dalam Perisai Komuniti, namun hanya mencatat enam bantuan gol – menunjukkan pembabitannya dalam permainan berpasukan semakin berkurangan.

United memenangi Piala Liga musim itu, tetapi tewas kejuaraan liga kepada Chelsea.

Dua tahun kemudian, pada musim 2011-12, Rooney sekali lagi meledak 34 gol, termasuk 27 gol liga, namun United kehilangan kejuaraan kepada Manchester City menerusi perbezaan gol selepas jaringan dramatik Sergio Aguero menewaskan QPR di saat akhir.

Rooney turut mengimbas kenangan bermain bersama beberapa gandingan serangan seperti Robin van Persie, Dimitar Berbatov, Louis Saha dan Javier Hernandez, namun mengakui Carlos Tevez adalah rakan sepasukan paling serasi.

“Saya sangat suka bermain dengan Tevez. Ada laporan media kata kami terlalu serupa dan tak boleh digandingkan. Jadi kami mahu buktikan mereka silap – kami saling memahami,” tambahnya.

Gandingan Rooney–Tevez terbukti berbahaya dengan kedua-duanya menjaringkan 47 gol bersama, manakala bersama Berbatov, mereka menghasilkan 160 gol sepanjang empat musim.

Dalam segmen akhir rancangan itu, Rooney turut diminta memilih pasukan lima sebelah impian daripada pemain semasa Liga Perdana Inggeris.

Beliau memilih barisan serangan penuh gaya Inggeris tanpa penjaga gol: “Phil Foden sudah tentu, dalam permainan lima sebelah dia hebat di kawasan sempit. Cole Palmer, Bukayo Saka, Caicedo dan Salah.” – AGENSI

More From Author

Slot dedah faktor Liverpool merosot

Tentera Israel dakwa 3 mayat diterima dari Gaza bukan tebusan