PATI bertempiaran lari, sembunyi atas siling, 45 ditahan

JOHOR BAHRU: Seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang berehat di rumah kedai bertempiaran melarikan diri termasuk bersembunyi atas siling apabila diserbu Jabatan Imigresen (JIM); di Taman Mount Austin di sini malam tadi.

Op Sapu yang melibatkan 30 anggota Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor pada pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan secara mengejut selepas menerima aduan awam dan risikan.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, PATI berkenaan didapati
menetap di rumah kedai itu.

“Serbuan mengejut itu dijalankan ketika kesemua warga asing tersebut sedang berehat di rumah kedai yang dijadikan sebagai tempat tinggal.

“Ada antara mereka cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam bilik mandi namun berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam operasi ini, seramai 45 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Jelasnya, mereka terdiri daripada tiga lelaki dewasa warga Indonesia, sembilan lelaki dewasa Pakistan, tujuh lelaki dewasa warga India, 19 lelaki dewasa Myanmar, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, lima wanita dewasa Myanmar dan seorang wanita Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati PATI tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 09 bulan hingga 46 tahun,” ujarnya.

Semua individu yang ditahan katanya, disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“JIM Johor akan terus bergiat aktif membanteras PATI di negeri ini dan turut memandang serius terhadap isu warga asing yang menyalahgunakan pas/permit yang diberikan,” katanya.

Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terdapat PATI yang melanggar undang-undang. – Majestic

More From Author

Peluang Kuching City calar imej JDT

Johor penyumbang terbesar pertanian negara