JOHOR BAHRU: Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori yanf membelok secara tiba-tiba di Ladang Pasir Mados, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, nahas itu berlaku pada pukul 9.30 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebuah lori jenis HNN.
“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berumur 39 tahun membelok ke kiri secqra tiba-tiba dan melanggar motosikal terbabit hingga mangsa yang berusia 18 tahun terjatuh.
“Pemandu lori berkenaan pada mulanya tidak menyedari telah melanggar mangsa dan mengundur kenderaannya sebelum dimaklumkan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Remaja tersebut katanya, dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini oleh pekerja ladang tetapi disahkan meninggal dunia pada pukul 10.45 pagi ketika menerima rawatan.
Tambah Mohd Sohaimi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pemandu lori terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menumpukan perhatian ketika memandu, selain mematuhi undang-undang jalan raya,” ujarnya
Tambahnya, sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- Majestic
