KUALA LUMPUR: Foto dikongsi pelakon Ben Amir yang antara lain memaparkan dirinya berurusan di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Instagram (IG), kira-kira sejam lalu, meraih perhatian ramai.
Pengikut Ben mengesyaki paparan salah satu foto yang menampakkan kaunter di Cawangan Kebajikan Saudara Baru, Bahagian Pengurusan Dakwah, MAIWP, bagai memberi petunjuk pelakon itu menemani teman wanitanya, iaitu gadis asal Filipina, memeluk Islam.
Satu daripada foto dikongsi pula memaparkan Ben atau nama sebenar, Muhammad Amir Sabaruddin yang bersongkok sedang menandatangani dokumen,
Pelakon drama Sweet Dreams itu juga berkongsi gambar borang Maklumat Masuk Islam dan kelibat wanita dipercayai kekasihnya daripada tepi.
Lebih meyakinkan netizen, pada kapsyen, Ben mengucapkan selamat datang dipercayai ditujukan kepada wanita itu kerana memeluk Islam.
“Selamat datang ke dalam Islam. Ambil masa, belajar perlahan-lahan, nikmati keindahannya dan ketahuilah bahawa kamu tidak pernah keseorangan.
“Semoga Allah sentiasa melindungi kamu dengan penuh kasih sayang. Semoga perjalanan ini mendekatkan kamu kepada kedamaian, tujuan hidup dan diri kamu yang sebenar,” katanya.
Hantaran Ben pantas meraih perhatian ramai termasuk pujian mengenai pahala yang diperolehi pelakon itu.
Selain ucapan tahniah, netizen juga membuat spekulasi Ben dan teman wanitanya bakal berkahwin.
“Alhamdulillah, macam ada bau nasi minyak saja,” kata seorang pengikut.
Mei lalu, Ben dilapor mengakui hatinya sudah dimiliki wanita asal Filipina. Mereka berkenalan dua tahun lalu bagaimanapun, Ben dilapor enggan terburu-buru melangkah ke fasa seterusnya kerana sedang mengenali hati budi wanita terbabit. – BH
