Akmal dedah cerita belakang tabir Seniman Agung P Ramlee

KUALA LUMPUR: Penulis dan bekas Pengarang Hiburan Berita Harian (Edisi Mingguan), Akmal Abdullah, bersyukur selepas hampir 10 bulan usaha akhirnya dapat melancarkan buku terbaharu mengenai Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Buku bertajuk P Ramlee Kisah Tanpa Noktah itu melalui pelbagai cabaran, termasuk kekurangan bajet. Namun, berkat sokongan ramai pihak, termasuk penaja utama ST Rosyam Mart Sdn Bhd, projek berkenaan berjaya direalisasikan.

“Ini adalah buku kelima saya yang menulis mengenai tokoh perfileman. Sebelum ini, saya menghasilkan karya mengenai Datuk Yusof Haslam, Datuk Mustapha Maarof, serta di sebalik tabir filem Merong Mahawangsa dan projek Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG).

“Empat buku sebelum ini diterbitkan FINAS, tetapi selepas saya tidak lagi bekerja di BH, sukar untuk mendapatkan sokongan. Namun, dorongan rakan dan bekas wartawan Harian Metro, Adam Salleh, memberi semangat untuk saya teruskan,” katanya pada majlis pelancaran buku di Saloma Kuala Lumpur, petang tadi.

Akmal menceritakan selepas hampir setengah jalan menulis, beliau sempat berasa putus asa.

Namun, nasihat daripada Yusof, yang juga pemilik Skop Production, mendorongnya untuk meneruskan perjuangan sehingga buku itu siap.

“Bukan saya suka-suka hasilkan buku ini, tetapi pengalaman bergaul dengan pelakon veteran banyak memberi inspirasi. Mereka berkongsi cerita di sebalik tabir P Ramlee, dan saya harap semua dapat membaca buku ini,” ujarnya.

Majlis pelancaran disempurnakan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Datuk Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir, dan turut dihadiri tokoh-tokoh seni tanah air seperti Datuk Rosnani Jamil, Yusof Haslam, Datuk Rosyam Nor, Datuk Khadijah Ibrahim, A Galak, serta ramai lagi.

Bagi Yusof, usaha Akmal menulis buku ini wajar dipuji kerana mampu memberi manfaat kepada generasi kini dalam mengenali seniman agung P Ramlee.

“Dalam perjuangannya, P Ramlee menempuh pelbagai cabaran. Kritikan tidak pernah mematahkan semangatnya. Buku ini mengupas jatuh bangun beliau dalam industri, dan saya respek usaha Akmal menulisnya.

“Buku ini memberi peluang kepada generasi muda hari ini untuk mengenali P Ramlee secara lebih mendalam,” katanya.

Sementara itu, Rosyam menyatakan rasa syukur kerana dapat membantu penghasilan buku tersebut. Beliau turut berharap karya ini dapat diterjemah ke bahasa Inggeris dan dijadikan buku elektronik agar ilmu mengenai P Ramlee terus tersebar luas.

“P Ramlee telah menggerakkan seni budaya kita. Hari ini, saya berterima kasih kepada beliau dan insan-insan di sekelilingnya. Jasa mereka amat besar, memberi inspirasi kepada insan seni tanah air dalam lakonan, nyanyian dan pelbagai bidang lain.

“P Ramlee ibarat nakhoda yang membimbing generasi seangkatan kami dari dulu hingga kini. Akmal pula adalah sahabat yang banyak membantu perjalanan saya, dan melalui penulisannya, beliau turut mencorakkan siapa saya hari ini.

“Akmal tekun melahirkan buku ini, dan kami di Rosyam Mart cuba membantu sebaik mungkin. Alhamdulillah,” katanya.

Buku P Ramlee Kisah Tanpa Noktah dijual pada harga promosi RM69 dan memuatkan 851 gambar berwarna.

Beberapa syarikat produksi seperti Skop Production Sdn Bhd, Metrowealth International Group (MIG), Sheunik Sdn Bhd, serta FINAS dan Yayasan Budi turut menaja projek ini, membuktikan komitmen ramai pihak dalam menghargai warisan seni tanah air. – BH

More From Author

Fung-wong bertambah kencang menjadi ‘taufan super’

Impian Qabil lakar podium berganda di Jerez tidak kesampaian