Nubhan ayah yang bertanggungjawab – Dr Afifah

PUTRAJAYA: Biarpun dilanda kemelut rumah tangga, isteri Nubhan Ahmad, iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek terus mengekalkan hubungan baik dengan suami demi anak-anak.

Malah, Dr Afifah, 35, menyifatkan Nubhan sebagai ayah yang baik kepada tiga orang anak mereka. Baginya, Nubhan melaksanakan peranan sebagai bapa yang bertanggungjawab.

“Sekarang ini, anak-anak lebih banyak bersama saya kerana masih bersekolah. Nubhan pun agak sibuk sekarang. Tetapi, kalau Nubhan ada masa terluang, saya tidak halang untuk dia jumpa dengan anak-anak supaya mereka tak rasa kehilangan.

“Bagi saya, Nubhan ayah yang baik. Saya tak mahu jauhkan dia dengan sesiapa. Anak-anak berhak untuk berseronok dan meluangkan masa dengan sesiapa pun,” katanya ditemui pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier milik Ashraf Muslim di pusat beli belah, IOI City Mall di sini, hari ini.

Dr Afifah dan Nubhan yang berdepan kemelut rumah tangga, masih menunggu keputusan hadanah atau hak penjagaan penuh di mana prosiding itu dijadual berlangsung pada 2 Disember depan. Kini, hak penjagaan sementara diserahkan kepada Dr Afifah.

Dengan mengamalkan kerjasama yang baik dengan Nubhan, Dr Afifah berkata, kehidupannya lebih tenang. Apatah lagi, dia mahu fokus mencari rezeki buat anak-anaknya.

“Alhamdulillah saya tenang, sebab saya ada anak-anak. Saya pun mahu anak-anak tengok saya bukan sebagai seorang ibu yang lemah dan bukan sebagai ibu yang tak boleh terima. Saya hendak kalau saya kuat, anak-anak saya pasti boleh kuat macam saya.

“Kita sebagai seorang ibu mesti nak yang terbaik untuk anak-anak. Kita akan fikir anak-anak dahulu, baru diri kita. Alhamdulillah, sekarang saya banyak dapat kawan usrah yang baik.

“Allah temukan dengan orang-orang yang baik untuk saya teruskan hidup dan perbaiki diri. Saya juga bersyukur, Alhamdulillah dapat banyak rezeki yang tak disangka. Jadi, mungkin ini adalah ujian untuk saya menjadi lebih matang dan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

September lalu, Nubhan memfailkan tuntutan hadanah atau hak penjagaan penuh serta interim terhadap tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pasangan Nubhan dan Dr Fie hidup bersama selama 10 tahun selepas bernikah pada 29 Ogos 2015. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6 dan Afzan Nayillle, 3.

Sebelum itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan perceraian untuk dua lafaz cerai dilakukannya dan satu lafaz rujuk terhadap Dr Afifah di Mahkamah Rendah Syariah Sepang. – BH

More From Author

Atu Zero tersinggung sindiran orang Sabah boleh ‘dibeli dengan roti’

Pelajar menjerit jumpa cacing tanah dalam ‘scrambled eggs’