KUALA LUMPUR: Harapan pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan untuk menutup kempen ESBK Talent Cup 2025 dengan kejayaan di podium tidak kesampaian apabila terpaksa akur menamatkan perlumbaan terakhir di Litar Jerez, Sepanyol di tempat kelima, hari ini.
Meskipun sudah pun mengesahkan gelaran juara keseluruhan musim ini, Qabil yang tampil bergaya dengan jentera dan helmet kemasan berwarna emas tetap mempamerkan semangat juang tinggi di sepanjang perlumbaan.
Memulakan Perlumbaan 2 dari petak ketiga, pelumba berusia 13 tahun itu sentiasa berada dalam kelompok depan dan memberikan saingan sengit untuk merebut kedudukan di podium.
Begitupun, perlumbaan yang dijadualkan berlangsung sebanyak 12 pusingan itu terpaksa dihentikan seketika selepas empat pusingan apabila bendera merah dikibarkan susulan kemalangan.
Sejurus perlumbaan dimulakan semula dengan hanya enam pusingan, Qabil berjaya mengekalkan momentumnya malah beberapa kali mendahului saingan namun cabaran sengit dalam kelompok utama menyaksikan kedudukan pendahulu saling bertukar.
Nasib tidak menyebelahi Qabil pada pusingan terakhir apabila percaturannya tampak tidak menjadi dengan perbezaan masa antara pemenang dan pelumba di tempat ke-11 hanya kurang daripada satu saat.
Perlumbaan dimenangi oleh pelumba tuan rumah, Iker Rodriguez dengan tempat kedua menjadi milik Andres Garcia, manakala David Peris melengkapkan kedudukan podium.
Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung semalam, Qabil turut mempamerkan tunggangan membanggakan apabila berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-17.
Sebagai rekod, Qabil mengesahkan gelaran juara keseluruhan ESBK Talent Cup 2025 pada pusingan keenam di Litar Estoril, Portugal pada September lalu, di mana dia cemerlang memenangi kedua-dua perlumbaan. – BH
