Tidak serik, lelaki Thailand diberkas lagi kutip derma

JOHOR BAHRU: Walaupun pernah ditahan dan didenda, namun seorang lelaki tidak serik, malah terus aktif mengutip derma atas nama sekolah tahfiz di tapak-tapak pasar malam.

Namun taktik warga Thailand yang sebenarnya bukan mengutip derma untuk sekolah tahfiz, terbongkar selepas dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di tapak pasar malam Flat Sri Stulang di sini.

Menurut sumber JAINJ, dalam operasi baru-baru ini, lelaki berusia 36 tahun terbabit ditahan ketika meminta sumbangan kononnya untuk sebuah sekolah tahfiz di selatan Thailand.

“Hhasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang kebenaran sah daripada Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) untuk mengutip derma. Penguat kuasa turut merampas sebuah tabung beserta wang tunai berjumlah RM167.

“Nama sekolah tahfiz yang tertera pada tabung didapati palsu dan hasil kutipan dipercayai tidak disalurkan kepada mana-mana institusi sah.

“Sebelum tangkapan dibuat, penguat kuasa sempat merakam gambar seorang kanak-kanak lelaki memasukkan wang ke dalam tabung yang dipegang suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu menyewa sebuah bilik di sini dengan kadar RM350 sebulan dan aktif bergerak ke pasar malam untuk mengutip derma.

Tambahnya lagi, lelaki sama pernah ditahan pada Januari 2024 di tapak pasar malam Taman Tampoi Utama atas kesalahan serupa.

Lelaki berkenaan katanya, telah dihadapkan ke Mahkamah Syariah di sini atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 106(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor yang memperuntukkan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

“Dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan dijatuhkan denda keseluruhan RM5,000 namun lelaki ini gagal membayar denda dan akan menjalani hukuman penjara tujuh bulan 14 hari di Penjara Kluang,” tambahnya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid mengingatkan penguat kuasa agama supaya bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atas nama kebajikan Islam.

“Kebenaran memungut derma boleh dipohon melalui Pejabat Kadi Daerah dan beberapa syarat perlu dipenuhi untuk elak penipuan serta salah guna wang sumbangan,” ujar Mohd Fared dalam kenyataan pada Julai lalu.

Dalam pada itu, JAINJ turut menasihatkan pemilik kedai makan, warung dan kedai runcit supaya tidak membenarkan sebarang tabung derma diletakkan tanpa kebenaran.

“Sekiranya ada pihak mahu meletakkan tabung, mereka diminta merujuk kepada Pejabat Kadi Daerah,” ujarnya.

Dalam tindakan berasingan, sebuah warung terkenal di Sungai Abong, Muar turut diberi amaran selepas didapati membenarkan tabung derma tanpa kebenaran. – Majestic

More From Author

Lelaki Bangladesh tiba-tiba melintas punca kemalangan

Tiada paksaan MIC kekal atau keluar dari BN – Ahmad Zahid