KLUANG: Seorang pemuda maut ,manakala seorang lelaki Bangladesh yang menaiki basikal parah terlibat kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 60, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 8.30 malam melibatkan sebuah motosikal, basikal dan sebuah lori tangki.
“Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Honda RS-X 150 yang ditunggang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 28 tahun dalam perjalanan dari arah Mersing ke bandar Kluang.
“Semasa sampai di tempat kejadian sebuah basikal ditunggang seorang lelaki warga Bangladesh berusia 50 tahun menyeberang jalan secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan.
Motosikal terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar basikal tersebut sebelum terbabas dan melanggar pula sebuah lori tangki jenis Mercedes-Benz yang diletakkan di bahu kiri jalan.
Akibatnya, penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Penunggang basikal tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dikejarkan ambulan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Menurutnya, mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HEBHK dan kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis turut menyiasat pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun di bawah Rule 16(1) LN 166/59 kerana membuat halangan di atas jalan dengan meletakkan lori,” ujarnya.
Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan dan jika kesalahan kali kedua dan berikutnya, boleh didenda RM4,000 atau dipenjarakan sehingga 12 tahun atau kedua-duanya.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 dan tablet TlDCC 014-365682. – Majestic
