MIAMI, Amerika Syarikat: Lionel Messi menyuarakan hasrat untuk beraksi bersama Argentina pada Piala Dunia tahun depan, namun menegaskan keputusan muktamad akan dibuat selepas menilai kemampuan fizikalnya.
Penyerang Inter Miami berusia 38 tahun itu yang mengemudi Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 berkata, dia masih menyimpan impian untuk turun ke padang apabila skuad Albiceleste mempertahankan kejuaraan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
“Beraksi pada Piala Dunia adalah sesuatu yang luar biasa dan saya terlalu ingin berada di sana,” kata pemenang Ballon d’Or lapan kali itu kepada NBC News dalam satu temu bual yang disiarkan semalam.
“Saya mahu berada di sana, berada pada tahap terbaik dan menjadi sebahagian penting dalam membantu pasukan kebangsaan, jika saya dipilih.
“Saya akan menilai keadaan diri dari hari ke hari apabila memulakan pramusim tahun depan bersama Inter, untuk melihat sama ada saya benar-benar boleh beraksi 100 peratus dan berguna kepada pasukan. Dari situ saya akan buat keputusan,” katanya.
Messi, yang memulakan karier profesional pada tahun 2004, masih bersemangat bagi satu lagi peluang beraksi di pentas bola sepak paling berprestij itu.
“Saya amat teruja kerana ia adalah Piala Dunia. Kami baru menjuarai edisi lalu dan dapat mempertahankannya sekali lagi di tengah padang adalah sesuatu yang menakjubkan kerana beraksi bersama pasukan kebangsaan sentiasa menjadi impian, terutama dalam kejohanan rasmi,” katanya.
Messi yang membuat penampilan sulung bersama Barcelona pada usia 17 tahun, berpindah ke Paris Saint-Germain pada 2021 sebelum menyertai MLS bersama Inter Miami pada 2023.
“Sejujurnya, saya suka segala-galanya mengenai kehidupan di sini,” kata Messi mengenai Miami.
“Saya membesar di Barcelona, sebuah bandar yang luar biasa dan penuh kenangan indah yang kami rindui, tetapi Miami memberi kami kehidupan yang tenang, membolehkan kami menikmati masa bersama keluarga dan membesarkan anak-anak dalam suasana yang selesa.”
Messi kini memiliki 195 penampilan bersama skuad kebangsaan Argentina dengan 114 gol. – AFP
