BATU PAHAT: Polis menahan ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang parah selepas dikelar menggunakan senjata tajam petang tadi.
Mereka masing-masing berusia 41 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada jam 4 petang bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata penahanan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Selain Seksyen 326 Kanun Keseksaan, siasatan dijalankan kerana pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, penahanan ibu bapa kanak-kanak itu bertujuan melengkapkan siasatan sekali gus mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
Terdahulu, Shahrulanuar menjelaskan keadaan kanak-kanak lelaki itu semakin stabil dan sudah boleh bercakap selepas menjalani pembedahan di lehernya.
Mangsa ketika ini masih menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan memerlukan pemerhatian pasukan perubatan. – BH
