Majoriti rakyat Amerika menyokong pengiktirafan AS terhadap negara Palestin – Tinjauan pendapat

WASHINGTON: Washington: Seramai 59 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) bersetuju negara itu perlu mengiktiraf kenegaraan Palestin, menurut tinjauan Reuters/ Ipsos yang menunjukkan pendirian Presiden, Donald Trump bertentangan dengan pandangan majoriti warganya.

Tinjauan selama enam hari yang berakhir pada 20 Oktober itu, membabitkan 4,385 responden di seluruh negara dan mempunyai margin ralat dua mata peratusan.

Kira-kira 80 peratus ahli parti Demokrat menyokong pengiktirafan Palestin, manakala 41 peratus ahli parti Republikan turut bersetuju, menunjukkan sokongan bipartisan yang wujud.

Difahamkan hampir separuh daripada ahli parti Republikan penyokong Trump, iaitu 53 peratus, menentang pengiktirafan Palestin, manakala 41 peratus lagi menyokong langkah berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa negara sekutu AS termasuk United Kingdom (UK), Kanada, Perancis dan Australia mengiktiraf Palestin secara rasmi, mencetuskan kecaman daripada Israel.

Media melaporkan, tindak balas Israel termasuk pengeboman kawasan perumahan di Gaza susulan serangan mengejut oleh Hamas pada Oktober 2023.

Kira-kira 60 peratus responden menilai tindakan Israel di Gaza sebagai keterlaluan, berbanding 32 peratus yang tidak bersetuju.

Sementara itu, Trump, yang kembali memegang jawatan Presiden pada Januari, sebahagian besar masa menyokong Israel dalam konflik itu dan menjadi orang tengah bagi gencatan senjata pada Oktober.

Sebanyak 51 peratus responden berkata, Trump wajar diberi pengiktirafan jika usaha keamanan berjaya, berbanding 42 peratus yang tidak bersetuju.

Walaupun hanya seorang daripada 20 ahli parti Demokrat meluluskan prestasi keseluruhan Trump, seorang daripada empat berkata beliau patut diberi pengiktirafan sekiranya keamanan itu kekal.

Keganasan hujung minggu lalu mengancam untuk menggagalkan gencatan senjata yang baru seminggu dilaksanakan dan diplomat AS meningkatkan tekanan ke atas Israel dan Hamas untuk memastikan pelan Trump kembali ke landasan.

Isu utama seperti pelucutan senjata Hamas, penarikan tentera Israel dan pentadbiran masa depan Gaza masih belum diselesaikan.

Penilaian Trump dalam dasar luar meningkat kepada 38 peratus, naik daripada 33 peratus dalam tinjauan lebih awal pada Oktober, menunjukkan sokongan sederhana terhadap kepimpinannya dalam isu antarabangsa. – REUTERS

More From Author

China, AS akan adakan rundingan perdagangan di Malaysia

Anuar Zain tidak sabar cipta sejarah di Stadium Merdeka