Anuar Zain tidak sabar cipta sejarah di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 30 tahun bergelar penyanyi, Anuar Zain akhirnya bakal menjejak pentas bersejarah Stadium Merdeka melalui konsert Healing Night 2026 pada 24 Januari ini.

Anuar atau Shahrul Anuar Zain, 55, berkata sebelum ini, pentas paling besar yang pernah dicapainya adalah di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menjayakan SUKMA 1998.

Menurutnya, peluang kali ini dilihat sebagai satu penghargaan dan pengalaman baharu buat dirinya.

“Saya tidak pernah menjayakan konsert di Stadium Merdeka. Kalau paling besar pun di Bukit Jalil dengan lebih 100,000 penonton ketika SUKMA 1998.

“Itu sebab saya tak sabar nak buat persembahan di sini kerana stadium ini sangat bersejarah dan tinggi nilainya di negara kita. Ia juga salah satu sebab saya menerima undangan menjayakan konsert ini,” katanya ditemui pada sidang media konsert berkenaan,di sini, kelmarin.

Anuar turut menekankan kepentingan generasi muda menghargai Stadium Merdeka, selain menjaga kebersihan dan nilainya sebagai salah satu ‘landmark’ bersejarah negara.

Konsert anjuran Kembar Nusantara Sdn Bhd dan disokong Creative Page Sdn Bhd ini turut menampilkan penyanyi terkenal tempatan, Ella dan Dayang Nurfaizah, selain penyanyi dari Indonesia, Lyodra, serta kumpulan popular Kangen Band.

Anuar berkata keputusan menjayakan konsert ini turut dipengaruhi barisan artis yang akan berkongsi pentas dengannya.

“Bila mereka beritahu ada Ella dan semua, saya rasa okay saya boleh buat, lebih-lebih lagi bila tahu ada rakan-rakan yang seronok. Lyodra lagunya pun bagus, Kangen Band pula popular. Jadi mengapa tidak,” jelasnya.

Konsert ini mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan dilihat sebagai platform memperkenalkan budaya serta seni Nusantara secara bersepadu.

Tema ‘healing’ diterjemahkan bukan sahaja menerusi muzik, tetapi juga suasana konsert, reka bentuk pentas, dan aktiviti inspirasi kesejahteraan untuk khalayak.

Sementara itu, menurut penganjur, kombinasi artis tempatan dan antarabangsa itu bertujuan menyemai perpaduan genre dan memberikan pengalaman baharu kepada penonton, selari dengan konsep kesembuhan dan ketenangan yang dibawa oleh konsert ini. – BH

More From Author

Majoriti rakyat Amerika menyokong pengiktirafan AS terhadap negara Palestin – Tinjauan pendapat

‘Saya bertahan 10 tahun demi anak-anak’