China, AS akan adakan rundingan perdagangan di Malaysia

BEIJING: China hari ini mengumumkan akan mengadakan pusingan seterusnya rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, ketika dua ekonomi terbesar dunia itu berusaha mengelak daripada meneruskan perang tarif yang semakin merugikan kedua-dua pihak.

“Kedua-dua pihak bersetuju Naib Perdana Menteri, He Lifeng akan mengetuai delegasi ke Malaysia dari 24 hingga 27 Oktober bagi mengadakan rundingan ekonomi dan perdagangan dengan AS,” menurut kenyataan Kementerian Perdagangan China.

Awal bulan ini, Beijing mengumumkan kawalan besar-besaran terhadap industri nadir bumi yang kritikal, mendorong Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 100 peratus terhadap import dari China sebagai tindak balas.

Trump turut mengancam bagi membatalkan pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping yang dijadual berlangsung di Korea Selatan hujung bulan ini, sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Bagaimanapun, Presiden AS itu menegaskan beliau berharap dapat mencapai perjanjian ‘yang baik’ dengan China bagi menamatkan perang perdagangan antara kedua-dua negara.

Pengumuman pada hari ini dibuat selepas Lifeng yang mengetuai pengurusan pertikaian perdagangan dengan Washington, bersetuju untuk mengadakan rundingan bersemuka baharu dalam panggilan telefon dengan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent hujung minggu lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan China, rundingan berkenaan akan membincangkan ‘isu penting dalam hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dan AS. – AFP

More From Author

Marquez tamatkan musim 2025 lebih awal

Majoriti rakyat Amerika menyokong pengiktirafan AS terhadap negara Palestin – Tinjauan pendapat