Insiden pergaduhan penyokong Selangor-Negeri Sembilan, FAM minta MFL bertindak

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden pergaduhan membabitkan penyokong Selangor FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, malam tadi.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata kejadian itu akan dirujuk kepada penganjur Liga Bolasepak Malaysia (MFL), memandangkan perlawanan terbabit berada di bawah kelolaan mereka.

“Perlawanan itu dikendalikan sepenuhnya oleh MFL. Laporan berhubung insiden berkenaan akan diserahkan kepada mereka dan segala keputusan atau tindakan susulan adalah di bawah tanggungjawab MFL.

“Bagaimanapun, pihak FAM tetap memantau perkembangan ini dan tidak akan membiarkan kejadian sama berulang,” katanya.

Beliau menegaskan, FAM memandang serius insiden berkenaan dan menyeru semua penyokong supaya mengutamakan semangat kesukanan ketika memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

“Dalam keghairahan memberi sokongan di stadium, kita harap penyokong dapat mengekalkan disiplin dan semangat kesukanan.

“Yang menang diraikan dengan cara berhemah, manakala yang kalah perlu menerima keputusan dengan hati terbuka. Bola sepak sepatutnya menyatukan, bukan memecahbelahkan,” katanya.

Terdahulu, suasana tegang tercetus selepas pertembungan suku akhir kedua Piala FA antara Selangor FC dan NSFC berakhir dengan insiden pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.

Dalam aksi timbal balik itu, Selangor tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan namun tetap mara ke separuh akhir menerusi agregat 6-3 untuk bertemu Sabah FC. – BH

More From Author

Amorim bangga kekal prinsip bantu kebangkitan United

Indonesia siasat kes 700 pelajar keracunan makanan