MANCHESTER, England: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan tahun pertamanya di Old Trafford sebagai perjalanan penuh liku, namun tetap bangga kerana kekal dengan prinsip sendiri ketika kelab itu kini mula mempamerkan tanda kebangkitan.
Selepas berdepan kritikan hebat terhadap formasi dan taktikalnya, United akhirnya mencatat tiga kemenangan berturut-turut buat kali pertama di bawah kendalian Amorim yang akan menyambut ulang tahun pertamanya bersama kelab itu bulan depan.
United kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 16 mata selepas sembilan perlawanan, enam mata di belakang pendahulu Arsenal dan satu mata di depan juara bertahan, Liverpool.
“Ia satu perjalanan yang panjang dan sukar, ada detik manis dan ada detik pahit. Saya belajar banyak perkara daripadanya dan itu amat penting,” kata Amorim menjelang aksi menentang Nottingham Forest, Sabtu ini.
“Saya belajar walaupun dalam saat paling sukar, saya tetap boleh berpegang kepada apa yang saya percaya dan itu satu perkara yang baik untuk difahami.
“Jawapannya kini berbeza berbanding tiga minggu lalu. Ini antara penghormatan terbesar dalam hidup saya dan saya mahu terus berada di sini untuk tempoh yang lama.”
Forest kini dikendalikan Sean Dyche, pengurus ketiga mereka musim ini, yang sebelum ini antara pengkritik Amorim selepas mendakwa pengendali Portugal itu sepatutnya menggunakan formasi 4-4-2 untuk meraih lebih banyak kemenangan.
“Saya sentiasa katakan gaya permainan saya akan ambil masa dan pada masa depan ia akan jadi lebih baik,” tegas Amorim.
“Kita tidak tahu apa akan berlaku, tetapi saya boleh lihat Sean Dyche sebagai seorang pengurus dan juga penganalisis. Kalau anda jadi penganalisis dan tidak bercakap dengan tegas, saya tidak akan menonton anda. Saya pun sama. Saya faham, itu dua kerja berbeza.
“Saya tahu Dyche bijak dan tahu selok-belok permainan. Beliau tahu bercakap mengenai bola sepak tidak sama dengan melatih pasukan,” katanya.
Amorim turut memaklumkan status kecederaan Harry Maguire masih belum pasti, manakala Lisandro Martinez belum bersedia diturunkan walaupun sudah kembali menjalani latihan penuh selepas pulih daripada kecederaan anterior cruciate ligament yang dialaminya Februari lalu. – REUTERS
