Ibu kepada sembilan anak rasai semula kemeriahan Deepavali

JOHOR BAHRU: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah K. Uneswari, 38, apabila dapat berbelanja untuk menyambut Deepavali yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Ibu kepada sembilan orang anak yang tinggal di Kangkar Pulai di sini memberitahu sudah dua tahun mereka sekeluarga tidak membeli pakaian dan persediaan mentambut Deepavali kerana perlu berjimat.

“Saya hanya bekerja sebagai tukang cuci manakala suami bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pengangkutan swasta, sudah dua tahun tidak beli pakaian baharu dan barang-barang untuk sambutan Deepavali.

“Ini kerana kami hidup susah dan lebih utamakan perbelanjaan harian, kami mempunyai sembilan anak berusia sembilan hingga 18 tahun, lapan daripadanya masih bersekolah,” katanya selepas menerima bantuan untuk membeli pakaian dan barangan di Pasaraya Econsave Kangkar Pulai di sini hari ini.

Uneswari merupakan seorang daripada 30 keluarga kurang berkemampuan yang menerima bantuan tersebut sempena sambutan Deepavali kali ini.

Keluarganya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini berterima kasih kepada pihak Pasaraya Econsave atas bantuan tersebut.

“Bantuan ini meringankan beban. Sama seperti bantuan kami terima RM1,000 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang amat meringankan beban keluarga kami,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Devaki Unchan, 46, dari Bandar Baru Kangkar Pulai di sini, terharu menerima bantuan tersebut kerana sebelum ini tidak menerima sumbangan daripada mana-mana pihak.

Dia hanya mengambil upah mencuci pakaian dan melakukan kerja-kerja rumah di kawasan berhampiran, suami pula bekerja di pusat cuci kereta.

Ibu kepada lima cahaya mata berusia lima hingga 17 tahun itu berkata, seorang daripada anaknya berusia 12 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) dan masih memakai lampin pakai buang.

“Bantuan ini amat dihargai dalam keadaan kami sudah empat bulan tidak bayar van sekolah dan kami tinggal menyewa RM600 sebulan. Keluarga kami tidak mendapat bantuan JKM dan selepas ini mahu mohon rumah PPR,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, setiap keluarga menerima baucar RM200 dan penerima merupakan golongan B40 dari kawasan sekitar Kangkar Pulai.

Beliau berharap, bantuan tersebut dapat menceriakan dan meringankan beban mereka kerana ada keluarga yang tidak mampu berbelanja untuk Deepavali.

Jelasnya, bantuan seperti itu diberikan setiap tahun bukan sahaja setiap kali menjelang Deepavali tetapi juga sebelum Hari Raya Aidilfitri atau Tahun Baru Cina tiba yang melibatkan penerima B40.

“Bantuan seperti ini juga kra berikan di negeri lain setiap kali musim perayaan,” katanya. – Majestic

More From Author

Tiada paksaan MIC kekal atau keluar dari BN – Ahmad Zahid

Bekas Naib Canselor USM disamun, terima 15 jahitan di kepala