Ekonomi, dibuli faktor utama sakit mental di Johor seawal usia 7 tahun

JOHOR BAHRU: Faktor ekonomi, menjadi mangsa penderaan dan buli antara punca utama 2,777 pesakit mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di negeri ini dari Januari hingga Ogos lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata, selain itu faktor genetik juga menyumbang angka tersebut selain masalah kekeluargaan.

“Mangsa penderaan dan buli termasuk pernah mengalami atau menjadi mangsa bencana menjadikan mereka trauma selain faktor persekitaran.

“Perkembangan ini menunjukkan peningkatan keperluan untuk perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses masyarakat.

“Jadi yang penting sebenarnya kesedaran itu perlu awal untuk mereka datang tampil (mendapat rawatan atau kaunseling). Jangan sudah terlampau lewat,” katanya selepas Majlis Perasmian Mentari Johor Bahru dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 di UTC Johor Bahru di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Marina Abd Rahman Sabri.

Dr Mohtar berkata, hasil saringan minda sihat, seramai 1,140 dirujuk ke klinik kesihatan untuk penilaian seterusnya, manakala 118 kes dirujuk ke hospital untuk penilaian dan rawatan.

Katanya, daerah Johor Bahru mencatat kes rawatan kesihatan tertinggi di Johor dengan sebanyak 621 kes.

“Di Malaysia, mengikut hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati 4.6 peratus daripada rakyat berumur 15 tahun ke atas mengalami kemurungan. Ini bersamaan dengan hampir satu juta orang,” katanya.

Di Klinik Psikiatri HAS ujarnya, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan kesihatan mental meningkat 90 peratus dalam tempoh 10 tahun dari 2014 hingga 2024.

“Angka itu menunjukkan peningkatan keperluan untuk perkhidmatan kesihatan mental yang senang diakses oleh masyarakat bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi di Johor.

“Pesakit yang mendapatkan rawatan kesihatan mental ini tidak mengira usia, kita menerima pesakit seawal umur tujuh tahun hingga ada berumur 90 tahun,” katanya.

Mohtar berkata, pembukaan Mentari Johor Bahru yang dibuka di UTC Johor Bahru bukan semata-mata pusat rawatan, tetapi turut menyediakan bantuan pemulihan psikososial melalui program sokongan pekerjaan serta membina semula keyakinan diri.

Selain di Johor Bahru, Mentari juga telah beroperasi di Pasir Gudang, Pontian, Segamat, Batu Pahat serta Muar.

Pembukaan Mentari Johor Bahru juga katanya, diharap mampu mengutangkan juah pesakit di Klinik Psikiatri HSA.

“Data menunjukkan bahawa jumlah pengunjung di Mentari Johor Bahru telah meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh Januari hingga Julai lalu.

“Pembukaan ini menjadi mercu tanda baharu dalam usaha kita menghapuskan stigma negatif, memperkasa pesakit dan membina komuniti lebih inklusif dan penyayang,” katanya. – Majestic

More From Author

Mayat pemandu ditemukan

Tiga bulan jadi KP Pendidikan, saya jumpa banyak perkara ‘disimpan bawah karpet’ – Mohd Azam