KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad hari ini mengakui beliau menemui banyak perkara negatif berkait sistem pendidikan negara yang ‘disimpan di bawah karpet’, hanya dalam tempoh tiga bulan dilantik ke jawatan berkenaan.
Beliau berkata, antaranya aduan berkaitan kes amang seksual dan buli yang dikesan berlaku dalam institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, perkara yang ‘disimpan’ itu kini menjadi tanggungjawabnya untuk dibawa keluar bagi mengelakkan sebarang kejadian yang lebih buruk berlaku.
“Saya memberi peringatan kepada semua, setiap gejala negatif perlu dilaporkan, walaupun setiap hari (sekolah dan guru) menerima aduan sama ada amang seksual dan buli, ia harus diberi perhatian.
“Perhatian itu penting untuk kita duduk bersama menyusun strategi, menyusun kerjasama dan memikul tanggungjawab.
“Jika semua mahu disimpan dalam karpet, seolah-olah hanya perkara baik saja yang ada… tetapi hakikatnya ada sesuatu yang berlaku.
“Ini umpama duri dalam daging dan umpama bom atom yang hanya tunggu untuk meletup saja. Ia memang menyedihkan (kes negatif di sekolah) dan tiga bulan saya memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah, banyak data dalam gejala ini saya kutip,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program Kempen Anti Buli anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan timbalannya, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, beliau bagaimanapun gembira apabila ‘perkara yang disimpan di bawah karpet’ itu ditarik keluar dan menarik perhatian ramai.
“Dari perhatian, kita mula sedar, perlunya ada inisiatif baharu untuk kita bangunkan program bagi mendidik generasi muda hari ini,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan kepada pentadbir sekolah serta pengarah pendidikan negeri dan daerah untuk memainkan peranan yang lebih mantap dalam mengatur strategi berkaitan sistem pendidikan dan sahsiah pelajar.
“Mereka perlu lebih energetik dan strategik dalam mengurus perkara ini kerana anak-anak hari ini bukan seperti dahulu, yang mana kita ketandusan maklumat tetapi hari ini, adanya limpahan maklumat yang terlalu banyak, sehingga ia mengancam manusia termasuk pelajar,” katanya. – BH
