SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan pengurniaan Darjah Setia Negeri Sembilan (DSNS) kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dr Mohamad Abd Razak ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan terbabit bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Mohamad dianugerahkan DSNS yang membawa gelaran Datuk pada 2004.
Sebelum ini, Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu.
Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang tamat tempoh lantikannya pada 31 Oktober 2021.
Beliau adalah seorang Pakar Bedah Ortopedik terlatih yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dan Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari Fakulti Perubatan UKM.
Selain memegang jawatan Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia dari 1996 hingga 1998, Mohamad pernah berkhidmat sebagai pendaftar pelawat di Jabatan Ortopedik Universiti Edinburgh, dan pendaftar dan Felo Klinikal dalam Kecerdasan Tulang Belakang di Southport Spinal Injuries Centre di Liverpool, Britain.
