TANGKAK: Aksi lima wanita termasuk sudah berusia bergaduh akibat perselisihan faham di sebuah taman di Bukit Gambir di sini, semalam tular dalam media sosial.
Kejadian itu berlaku pukul 7.39 pagi dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular dalam laman sosial Facebook.
Video berkenaan memaparkan wanita berkenaan memegang penyodok sampah, penyapu dan gayung ketika bergaduh.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal dijalankan sebaik menerima maklumat mengenai video terbabit.
“Hasil siasatan mendapati, insiden itu membabitkan lima wanita dengan kejadian berpunca daripada perselisihan antara jiran tertangga di taman perumahan terbabit.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh dan individu terbabit sudah pun dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi ataupun menyebar video berkenaan.
“Polis komited memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga. Mereka mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222 atau balai polis berhampiran,” katanya. – Majestic
