KUALA LUMPUR: Selepas dikecam hebat susulan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, petarung Muay Thai negara, Jojo hari ini bangkit membuktikan bahawa beliau masih yang terbaik.
Ini selepas Jojo atau nama sebenarnya Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mudah menumpaskan lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari sebentar tadi.
Pada aksi ONE Fight Night 35: Buntan vs Hemetsberger di Stadium Lumpinee, Thailand, Jojo hanya memerlukan kira-kira dua minit untuk menamatkan perlawanan menerusi kemenangan Technical Knockout (TKO).
Dalam pertarungan tersebut, Jojo dilihat sangat agresif dan melancarkan serangan bertalu-talu sehingga Zakaria hanya mampu bertahan sahaja.
Kemenangan ini menyaksikan Jojo kembali ke landasan kemenangan selepas tewas kepada Johan Estupinan dan Diego Paez.
Ini merupakan kemenangan ke tujuh beliau daripada 10 pertarungan sejak menyertai ONE Championship. – Majestic
