KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan takziah kepada keluarga lima penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu yang maut dalam kemalangan, semalam.
Katanya, beliau telah meminta Pengarah Mara Sabah dan Pengurusan IKM Kota Kinabalu untuk menghubungi keluarga masing-masing dan membantu segala keperluan serta mempermudahkan urusan jenazah.
“Takziah kepada keluarga mangsa dan didoakan kesemuanya ditempatkan dikalangan orang beriman,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di simpang Pusat Latihan RELA, Jalan Sulaman, Tuaran semalam telah mengakibatkan lima pelajar IKM Kota Kinabalu maut.
Mereka dikenali sebagai Harianto Anuar, 20; Neil Stanly Pletinie, 20; Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20 manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya.
Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang tadi, ketika kereta jenis Toyota Wish dinaiki kelima-lima mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Kota Belud.
Kenderaan dinaiki mereka dikatakan dirempuh sebuah lori membawa muatan batu kelikir yang datang dari arah bertentangan, selepas Toyota Wish dipercayai terbabas.
Semua mangsa berkenaan dilaporkan tersepit dalam kenderaan sejurus kemalangan. – Majestic
