SUNGAI SIPUT: Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkaitan isu itu.
Beliau menyifatkan jemputan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti ‘merisik’ dan menegaskan MIC akan meneliti perkara itu secara berhati-hati sebelum memutuskan sebarang langkah.
“Mungkin. Ini seperti fasa sebelum bertunang, ia bukan perkara kecil dan saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia memerlukan penelitian rapi.
“Keputusan akan dibuat tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Reunion Pemimpin Veteran Wanita MIC Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu, di sini, hari ini.
Vigneswaran menegaskan hubungan MIC dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak sama seperti permusuhan lama antara UMNO dan DAP.
“MIC pernah bekerjasama dengan kepimpinan PAS dan BERSATU sebelum ini tanpa sebarang masalah.
Keadaan ini berbeza dengan UMNO dan DAP yang dahulu adalah musuh ketat, tetapi akhirnya boleh duduk semeja dan bekerjasama,” katanya.
Pada 12 September lalu, Tuan Ibrahim mendedahkan beberapa parti menyatakan minat untuk menyertai PN, namun enggan menamakan mereka ketika ditanya sama ada komponen BN termasuk dalam kalangan yang memohon.
Beliau berkata, permohonan itu termasuk parti yang mahu menjadi ahli penuh serta pihak yang hanya berminat menjadi rakan PN dan semuanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.
Tuan Ibrahim turut mengalu-alukan kumpulan lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai perjuangan gabungan itu.
Ditanya mengenai pertemuannya bersama pimpinan MIC dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu, Vigneswaran menjelaskan ia hanya sekadar kunjungan hormat.
“Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang sangat dihormati masyarakat India dan MIC. Pertemuan itu diadakan sebagai tanda hormat terhadap beliau ketika pernah menerajui negara.
“Mengenai apa yang dibincangkan, biarlah ia kekal antara kami,” katanya.
Beliau dalam masa sama menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan pertemuan itu sebagai isyarat MIC mahu meninggalkan BN.
“Itu tidak benar. Jika ada perkara berkaitan BN, saya mesti berbincang dengan Datuk Seri Zahid (Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO), bukan dengan Datuk Seri Najib,” katanya. – BH
