Dua beradik antara lima mangsa ditemui tertimbus

KOTA KINABALU: Lima daripada tujuh sekeluarga yang dikhuatiri tertimbus akibat tanah runtuh di Kampung Cenderakasih di Kolombong, dekat sini, ditemui meninggal dunia jam 3 petang tadi.

Mangsa pertama dikenali sebagai Husaima Sarabani, 50, ditemui pada jam 12.30 tengah hari manakala empat lagi mangsa ditemui ketika pencarian pasukan mencari dan menyelamat pada sebelah petang.

Tiga kanak-kanak turut disahkan meninggal dunia iaitu dua beradik, Siti Khadijah Abdullah berusia empat tahun dan adiknya, Mohd Ilham, dua tahun serta sepupu mereka, Mohd Izzan Gandi, tujuh tahun.

Seorang lagi yang ditemui ialah datuk mereka, Abdul Halid Darak, 50.
Pencarian diteruskan bagi mengesan dua beranak lagi iaitu Maslinah Abdul Halid, 29, dan anaknya, Mohd Noriman Abdullah, sembilan tahun.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata operasi pencarian disertai 20 anggota bomba dan 30 anggota polis, selain 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, mangsa tertimbus antara dua hingga tiga meter di bawah runtuhan rumah dan tanah bercampur sampah yang tebal, sekali gus menyukarkan operasi pencarian.

“Kita terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menggali timbunan tanah dan sampah dianggar seberat antara 20 hingga 30 tan.

“Kita berusaha menjejaki mangsa yang masih hilang sebelum hari gelap dan berharap tiada lagi runtuhan baharu di lokasi kejadian,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi sebelum jentera tiba kira-kira 20 minit kemudian. – BH

More From Author

MIC tak tolak kemungkinan sertai PN – Presiden MIC

‘Saya hilang ibu, bapa, kakak, empat anak saudara sekelip mata…’