TUARAN: Hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini mengalami banjir dan tanah runtuh.
Mengikut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebanyak lima buah kampung dinaiki air dan dua laluan kenderaan mengalami tanah runtuh di daerah ini.
Pegawai APM Daerah Tuaran dan Unit Tamparuli, Nur Azierah Alang berkata, pihak APM sentiasa bersiapsiaga dan memantau lokasi yang terjejas.
“Hujan yang berterusan sejak petang semalam sehingga kini menyebabkan semua kawasan terbabit mula dinaiki air, namun masih dalam keadaan terkawal.
“Setakat ini belum ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka manakala di Kampung Tanjung, Tuaran, terdapat lima sekeluarga dipindahkan ke rumah saudara mereka akibat dinaiki air banjir,” katanya dihubungi.
Menurutnya, enam lagi kawasan dinaiki air dalam keadaan berjaga-jaga membabitkan Kampung Sungai Damit, Suang Bangau Tenghilan, Rongolis Topokon, Bokulungon Topokon, Kosusu Topokon dan Lapasan Telipok.
Laluan kenderaan di KM10.8 Jalan Pukak – Pahu dan Kampung Rugading Kiulu mengalami tanah runtuh dan sedang diselenggarakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Pengguna kenderaan juga diminta lebih berhati-hati berikutan kejadian pokok tumbang yang tidak dijangka berlaku ketika ini.
“Pihak APM akan mengambil langkah memindahkan penduduk sekiranya keadaan banjir tidak terkawal dan penduduk diminta menghubungi pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. – BH
