MCA, MIC Johor didesak perjelas pendirian politik

JOHOR BAHRU: MCA dan MIC Johor didesak menyatakan pendirian tegas sama ada ingin terus bersama Kerajaan Perpaduan ataupun bersedia berada di blok pembangkang.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr. Zuhan Zain berkata, kedudukan MCA dan MIC Johor tidak boleh lagi bersifat kabur kerana ia membawa implikasi langsung terhadap imej dan kestabilan kerajaan negeri Johor. 

“Persoalannya, adakah mereka ingin mengikuti langkah yang ditentukan kepimpinan pusat atau memilih untuk bergerak secara bersendirian?

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr. Zuhan Zain

“Pendirian MCA dan MIC Johor sangat penting kerana ia mencerminkan suara rasmi gabungan kerajaan di negeri ini dan jangan pula mengelak daripada menjawab isu ini hanya akan menimbulkan persoalan tentang kesetiaan dan komitmen sebenar mereka terhadap kerajaan sedia ada.

“Amanah Johor turut mengingatkan, jangan sampai MCA dan MIC dilihat sebagai parti yang tidak bermaruah di peringkat pusat seolah-olah mahu memutuskan hubungan dengan UMNO dan Kerajaan Perpaduan, tetapi di peringkat negeri masih ‘mengemis’ kedudukan. 

“Politik sebegini hanya merugikan rakyat dan menjejaskan maruah parti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Zuhan berkata, rakyat negeri ini berhak mendapat kepastian tentang arah dan pendirian setiap parti politik, lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam kerajaan.

Justeru, penjelasan dan ketegasan amat diperlukan segera, katanya. – Majestic

More From Author

Tiada stok, setahun tidak guna minyak peket

Telefon awam asrama ditutup dua hari dua malam selepas Zara Qairina ditemukan