KOTA TINGGI: Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) menyasarkan kebolehpasaran graduan lulusannya meningkat melebihi 90 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Fahmi Salam berkata, sasaran itu mampu dicapai berbanding 85 peratus pada masa ini dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan, antaranya sentiasa menambah baik kursus atau program yang ditawarkan seiring dengan kehendak semasa industri dan mendapat akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Selain itu, KPYPJ juga menjalin kerjasama dengan beberapa universiti terkemuka negara seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta komited meneroka peluang kerjasama bersama universiti-universiti lain di dalam dan luar negara.

“Dalam menghadapi pasaran kerja yang kompetetif, kita juga memberi penekanan terhadap pembangunan aspek keusahawanan dalam kalangan penuntut. Kajian memdapati graduan Diploma Seni Kulinari mempunyai kecenderungan yang tinggi menceburi bidang keusahawanan.
“Dengan pendedahan dan galakan yang sesuai, graduan ini berpotensi memulakan perniagaan mereka sendiri dalam industri kulinari, sekali gus mengurangkan persiangan dalam pasaran kerja tradisional.
“Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) juga telah memperoleh penarafan lima bintang oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi sistem MyQuest yang menilai kualiti institusi pengajian tinggi swasta.
“Penaratan ini mencerminkan komitmen KYPJ dalam membudayakan pendidikan berkualiti dan menenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa pendidikan negara,” katanya di sini.
Mohd. Fahmi memberitahu, kebolehpasaran dalam kalangan lepasan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) juga antara 70 hingga 80 peratus dan program yang ditawarkan sentiasa ditambah baik supaya selari dengan kehendak industri.
Pihak KKJ juga mengadakan pelbagai hubungan dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, malah Jawatankuasa Penasihat Teknikal turut dianggotai oleh pihak industri.
“Kursus-kursus peringkat sijil yang ditawarkan di KKJ memberi fokus dalam bidang Latihan, Teknikal, Kejuruteraan dan Vokasional (TVET) yang selari dengan keperluan industri semasa seperti automotif, teknologi elektrikal dan mekanikal.
“Selain sijil dan latihan yang diiktiraf serta dikendalikan mengikut piawaian Jabatan Pembangunan Kemahiran, para pelajar di KKJ juga diberi pembelajaran berasaskan praktikal serta kurikulum yang menekankan latihan amali, iaitu memberi latihan supaya mereka menguasai kemahiran sebenar seperti di tempat kerja.
“KKJ juga dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan terkini dan pelajar turut diberikan sokongan penempatan kerja dan keushawanan bagi menyokong kerjaya mereka,” katanya.
Menurutnya, KPYPJ sangat menghargai sokongan berterusan kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan sepanjang tempoh kewujudan KPYPJ selama 30 tahun ini, lebih 17,000 graduan dilahirkan dalam pelbagai bidang dan menyumbang semula kepakaran kepada negeri ini. – Majestic
