54 peneroka teraniaya, janji kosong sejak 32 tahun lalu

JOHOR BAHRU: Seramai 54 peneroka Rancangan Tanah Pemuda Seelong di Senai dekat sini kecewa dan hampa kerana sudah 32 tahun menantikan bangunan rumah kedai di Taman Impian Jaya di sini siap.

Mereka mendakwa, sudah lebih tiga dekad hidup dengan janji kosong walaupun kerajaan negeri sudah beberapa kali bertukar selepas pilihan raya.

Ismail Ibrahim, 74, antara peneroka yang terbabit dengan urusan penjualan ladang kelapa sawit seluas 158 hektar untuk tujuan pembangunan projek perumahan Taman Impian Jaya pada 1995.

Berdasarkan perjanjian, pihak pemaju akan memperuntukkan 54 unit rumah kedai dua tingkat kepada 54 peneroka Rancangan Tanah pemuda yang terbabit dengan urusan penjualan hartanah itu sebagai memenuhi syarat tambahan yang ditetapkan pihak kerajaan negeri ketika itu.

Katanya, 54 unit rumah kedai itu diperuntukkan kepada peneroka bagi menggantikan tanah kebun kelapa sawit yang dijual agar peneroka terbabit tetap memiliki aset bagi menampung kehidupan selepas ketiadaan tanah kebun tersebut.

“Nilai kos untuk membina rumah kedai dianggarkan berjumlah RM180,000 seunit.

“Oleh itu jumlah keseluruhan untuk membangunkan 54 unit rumah kedai itu adalah RM9.7 juta dan ia juga sudah dilangsaikan oleh penduduk.

“Daripada 54 peneroka kini hanya tinggal 23 peneroka yang masih hidup dan kami juga sudah dimamah usia.

“Perjanjian ini dilaksanakan pada Mac 1995, malangnya sehingga kini projek berkenaan hanya siap 15 hingga 20 peratus,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi peneroka, Md Rozali Abd Naim, 76, berkata, permasalahan itu pernah diambil perhatian oleh pihak tertentu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Ada pihak berjanji peneroka akan diberikan tawaran gantian iaitu 54 unit rumah kedai 2 tingkat itu digantikan dengan 54 unit rumah kediaman.

“Kami bersetuju dengan tawaran gantian itu pada April 2008 namun usaha itu umpama melepaskan batuk di tangga dan hanya menjadi janji pilihan raya.

“Kami teraniaya selama 30 tahun, kami pernah berusaha untuk mendapatkan khidmat guaman bagi memperjuangkan nasib, namun peguam berkenaan juga sudah meninggal dunia dan pejabatnya sudah ditutup,” katanya.

Salimin Sabari, 74, pula berkata pihaknya yakin kerajaan negeri akan membantu peneroka di situ bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya.

“Kami berasa tertipu dan amat kecewa terhadap apa yang berlaku sehingga kini geran atau suratan hakmilik sementara atas nama pemaju.

“Kami berharap permasalahan berkenaan dapat diselesaikan supaya ia tidak menimbulkan kesulitan kepada keluarga kami atau generasi baharu,” katanya. – Majestic

More From Author

KPYPJ sasar 90 peratus kebolehpasaran graduan

BUDI95: Kerajaan perlu beri penjelasan, banyak kekeliruan – Perimau