JATIDIRI MAHASISWA PERLU EKOSISTEM POSITIF YANG HOLISTIK

Jatidiri mahasiswa hari ini berada di persimpangan besar. Di satu pihak, mereka memiliki akses kepada ilmu, teknologi dan peluang masa hadapan yang tidak pernah terbayang pada generasi terdahulu.

Namun pada masa sama, mereka turut berhadapan tekanan sosial yang semakin kompleks — bermula daripada isu kesihatan mental, salah laku akademik, ketagihan digital, kebejatan moral, sehinggalah penyertaan dalam aktiviti berisiko seperti jenayah siber dan orientasi seksual yang bercanggah dengan norma agama serta undang-undang negara. Situasi ini menimbulkan keperluan mendesak untuk menanganinya melalui pendekatan holistik yang menggabungkan pendidikan, bimbingan rohani dan ekosistem kampus yang menyokong pembinaan insan.

Universiti-universiti seluruh negara melaporkan peningkatan kes stres, kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan mahasiswa. Tekanan akademik, kesunyian, masalah kewangan dan keretakan hubungan keluarga dikenal pasti antara penyumbang utama. Kesihatan mental yang tidak ditangani bukan sahaja menjejaskan prestasi pelajar, malah boleh merosakkan pertimbangan moral serta hubungan sosial mereka. Dari perspektif Islam, kesejahteraan mental adalah sebahagian daripada maqasid syariah yang menitikberatkan penjagaan akal (hifz al-‘aql). Justeru, pembangunan mental dan spiritual tidak dapat dipisahkan.

Trend salah laku akademik seperti plagiat, peniruan tugasan dan ketidakjujuran dalam peperiksaan semakin membimbangkan. Dalam dunia digital, pelajar mudah menyalin jawapan atau membeli tugasan dalam talian. Gejala ini bukan sahaja melanggar etika akademik, malah bertentangan dengan prinsip Islam yang menuntut kejujuran dan amanah. Mahasiswa yang memulakan kehidupan dewasa dengan integriti rapuh akan menjejaskan reputasi profesion yang bakal disandang kelak.

Salah satu kebimbangan besar hari ini ialah penglibatan sebahagian mahasiswa dalam aktiviti berkaitan LGBT. Walaupun isu ini sensitif, ia tidak boleh disapu di bawah karpet. Dari perspektif Islam, orientasi dan perlakuan yang bertentangan dengan fitrah manusia perlu dibimbing melalui dakwah berhikmah, kaunseling dan pendidikan rohani tanpa stigma atau penghinaan. Pelbagai penyelidikan menunjukkan bahawa intervensi berhikmah lebih berkesan berbanding pendekatan konfrontasi.

Selain itu, ketagihan media sosial serta hubungan tidak sihat dalam talian telah menjerumuskan sebahagian mahasiswa ke dalam masalah moral dan sosial. Malah, peningkatan kes penipuan atas talian serta penglibatan anak muda sebagai ‘scammer mule’ dan penyebar kandungan palsu membuktikan bahawa literasi digital mahasiswa masih berada pada tahap membimbangkan.

Walaupun majoriti mahasiswa berdisiplin, namun masih wujud kes terpencil melibatkan rokok elektronik, penyalahgunaan dadah, buli siber dan pergaduhan. Semua ini mencerminkan kekurangan pengisian rohani serta ketidakseimbangan antara kehendak diri dan disiplin moral. Dalam Islam, pembentukan nafsu yang terdidik (tazkiyah al-nafs) adalah asas kepada pembinaan sahsiah seimbang.

Mengurus cabaran mahasiswa tidak boleh dilakukan secara terpisah atau bersifat reaktif. Kita memerlukan ekosistem kampus yang membina, membimbing dan memulih melalui pendekatan syumul seperti dituntut Islam.
Pengukuhan program pembangunan rohani dan psikospiritual perlu diperluaskan. Ia mungkin dapat dilaksanakan dengan mewujudkan satu modul tarbiyah holistik mahasiswa yang menggabungkan latihan pengurusan emosi berasaskan konsep sabar, syukur dan reda, amalan kerohanian seperti solat berjemaah, halaqah ilmu dan tazkirah ringkas, sesi kaunseling Islamik oleh kaunselor bertauliah, klinik krisis bagi pelajar yang mengalami tekanan atau kecenderungan ke arah tingkah laku berisiko. Sokongan spiritual seperti ini mampu meningkatkan daya tahan mental dan menurunkan kadar kebimbangan atau ketakutan dalam kalangan mahasiswa.

Selain dari itu, bagi pelajar Muslim, penekanan pendidikan integriti berasaskan al-Quran dan Sunnah perlu diterapkan di dalam kursus wajib universiti. Ia boleh merangkumi etika bekerja dalam Islam, dosa ketidakjujuran akademik dan implikasi dunia-akhirat,
nilai amanah dan tanggungjawab dalam kehidupan profesional. Pensyarah harus menjadi qudwah hasanah melalui teladan dan tindakan tegas tetapi hikmah. Dalam Islam, ilmu tanpa akhlak adalah kecacatan besar.

Bagi menangani Isu LGBT pendekatan bijaksana perlu diambil berlandaskan prinsip amar makruf nahi mungkar, menghormati martabat insan tanpa menyokong perlakuan yang bercanggah syarak,menyediakan ruang kaunseling Islamik bagi mereka yang bergelut dengan identiti diri, menguatkan program pendidikan fitrah manusia dan keluarga, membina komuniti rakan sebaya yang menyokong perubahan positif.
Islam menolak perbuatan, bukan menghina insan.

Dari aspek pengukuhan literasi digital dan pencegahan jenayah siber pula, sudah tiba masanya universiti perlu melaksanakan modul wajib keselamatan digital, latihan mengenal pasti penipuan dalam talian, program kerjasama bersama CyberSecurity Malaysia dan PDRM, kempen adab berinteraksi secara dalam talian selaras dengan akhlak Islam. Mahasiswa perlu dididik bahawa setiap perbuatan di alam maya tetap tertakluk kepada dosa dan pahala serta tertakluk kepada undang-undang yang berkuatkuasa.

Pembudayaan Kampus Sejahtera juga perlu digalakkan melalui ekosistem gaya hidup sihat dan aktiviti alternatif seperti sukan, rekreasi dan kesenian, sukarelawan masjid, aktiviti khidmat masyarakat, mentoring mahasiswa baharu oleh senior berakhlak baik. Kampus yang menyediakan pilihan positif akan mengurangkan tarikan kepada aktiviti berisiko.

Tidak ketinggalan, penglibatan keluarga dan komuniti setempat juga penting dalam mewujudkan satu ekosistem yang holistik kemenjadian pelajar. Keluarga masih perlu mengetahui mengenai laporan kemajuan sahsiah berkala anak mereka, supaya sokongan berterusan dari pihak keluarga berlaku. Oleh kerana kebanyakan kampus universiti di Malaysia terletak di lokasi yang dikelilingi penempatan komuniti, universiti perlu menjadikan komuniti setempat sebagai rakan strategik dalam memantau dan membantu pembinaan moral mahasiswa.

Salah satu cabaran kini ialah kemasukan elemen hiburan melampau dalam program kampus. Acara yang keterlaluan, tidak sopan atau berorientasikan hiburan berlebihan boleh menjejaskan identiti universiti sebagai gedung ilmu. Universiti bukan tempat mempromosikan budaya pop semata-mata. Ia pusat membina intelektual, akhlak dan karakter. Dalam hal ini, Imam al-Ghazali pernah mengingatkan: “Hati yang sarat hiburan tidak mampu menyerap hikmah.”

Hiburan melampau akan menghakis identiti kampus, justeru, kepimpinan universiti mesti memainkan peranan mengawal, menyaring dan menilai setiap bentuk program agar sentiasa menepati nilai kesopanan, profesionalisme dan adab keilmuan.

Sebagai kesimpulan, isu sosial dan akhlak mahasiswa bukan fenomena terpencil, tetapi cerminan kepada cabaran masyarakat moden. Penulis percaya penyelesaian terbaik bukanlah hukuman semata-mata, tetapi pembinaan ekosistem kampus yang membesarkan jiwa, mengukuhkan iman dan memberikan ruang bimbingan berhikmah.

Dengan kerjasama universiti, keluarga, masyarakat dan agensi nasional, kita mampu melahirkan mahasiswa bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga unggul dari segi moral, integriti dan akhlak, seperti yang dituntut oleh agama kita.

Oleh Shafry Salim.
Pengarah Pusat Islam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

More From Author

Dua pekerja maut, kren arang batu runtuh, terbakar

UEC BERTENTANGAN DENGAN AKTA 550 DAN TIDAK SELARI DENGAN DASAR PENDIDIKAN NASIONAL