Ekitike mohon maaf kepada peminat Liverpool

LONDON: Hugo Ekitike memohon maaf kepada peminat Liverpool susulan dia dibuang padang kerana menanggalkan jersinya selepas menjaringkan gol kemenangan dalam aksi Piala Liga menentang Southampton, awal pagi tadi.

Malah, tindakan yang dilakukan Ekitike ketika meraikan jaringannya itu dilabel sebagai ‘bodoh’ oleh pengurus Liverpool, Arne Slot.

Penyerang berusia 23 tahun itu menyudahkan hantaran Federico Chiesa ketika perlawanan berbaki lima minit untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas pasukan divisyen dua, Southampton dengan Liverpool sekali lagi mencipta aksi dramatik pada penghujung perlawanan di Anfield.

Ekitike masuk menggantikan Alexander Isak pada babak kedua selepas penyerang Sweden itu meledak jaringan pertamanya untuk kelab itu.

Shea Charles berjaya menyamakan kedudukan, namun Ekitike meledak gol kemenangan pada minit ke-85 sebelum dia berlari ke arah penjuru padang dan menanggalkan jersinya.

Pengadil, Thomas Bramall tiada pilihan selain melayangkan kad kuning kedua dan disusuli kad merah, bermakna penyerang itu akan digantung untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace, Sabtu ini.

Ekitike yang menandatangani kontrak dengan kelab itu pada Julai lalu, berkata tindakan dilakukannya itu kerana terbawa-bawa dengan emosi.

“Saya begitu teruja malam ini kerana dapat membantu pasukan mencapai satu lagi kemenangan di tempat sendiri untuk perlawanan pertama saya dalam Piala Carabao (Piala Liga),” tulisnya di Instagram.

“Emosi menguasai diri saya malam ini. Saya memohon maaf kepada seluruh keluarga The Reds.” – AFP

More From Author

PRN Sabah: BN terbuka kerjasama dengan parti lain, bukan GRS – Ahmad Zahid

Arteta anggap ketiadaan Madueke satu kehilangan besar