LONDON: Mikel Arteta mengakui ketiadaan Noni Madueke akan menjadi ‘satu kehilangan besar’ buat Arsenal selepas pemain sayap England itu dijangka terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam minggu.
Madueke mengalami kecederaan lutut kanan ketika Arsenal meraih keputusan seri menentang Manchester City, Ahad lalu dan hasil imbasan menunjukkan dia kini perlu berehat kerana kecederaan itu.
Keadaan itu juga berkemungkinan menyebabkan Madueke terlepas kem skuad England yang akan datang dan ia satu tamparan hebat buatnya selepas memberi impak besar sejak berpindah dari Chelsea ke Arsenal.
Madueke dijangka berehat antara enam hingga lapan minggu, tetapi Arteta berkata jangka masa yang lebih tepat mungkin hanya diketahui minggu depan.
“Dia akan diketepikan selama beberapa minggu. Kami belum tahu lagi, mungkin kami perlu melakukan imbasan sekali lagi minggu depan. Dia berasa sesuatu pada awal perlawanan, cuba untuk terus bermain tetapi pada separuh masa dia terlalu sakit.
“Seperti yang saya katakan, kami perlu mengimbasnya sekali lagi untuk mengetahui tahap sebenar kecederaan, tetapi ia tidak kelihatan terlalu serius. Dia sangat kecewa, sudah tentu. Amat mengecewakan melihatnya kerana dia berada dalam keadaan yang sangat baik.
“Dia kelihatan benar-benar berbahaya. Dia mula menunjukkan konsistensi dan keserasian dalam pasukan, dan dia kelihatan seperti ancaman sebenar, jadi ia satu kehilangan besar untuk kami.” – AGENSI
