BATU PAHAT: Seorang maut dan tujuh yang lain cedera apabila sebuah treler merempuh enam kenderaan di hadapan Masjid Sabak Uni, Jalan Kluang–Batu Pahat di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.06 pagi itu, treler itu dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah lori Isuzu, lori Hicom, Honda HR-V, dua Perodua Axia dan Perodua Viva.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Hafizul Adzrin berkata, seramai
14 anggota dibantu kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dihantar ke tempat kejadian.
“Sebaik pasukan tiba di lokasi, seorang mangsa yang berada dalam sebuah kereta didapati tersepit di bawah Perodua Viva.

“Mangsa berjaya dikeluarkan selepas bantuan kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit sebelum anggota bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, identiti mangsa termasuk umur masih belum dikenal pasti namun difahamkan seorang lelaki warga asing.
Katanya, mangsa yang cedera adalah tiga dalam lori Isuzu, seorang dalam lori Hicom dan tiga dalam Honda HR-V yang semuanya dewasa sebelum dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan.
Terdahulu, tular rakaman kamera belakang sebuah kereta berdurasi 43 saat memaparkan sebuah treler merempuh beberapa kenderaan di hadapan Masjid Sabak Uni, Parit Raja di sini.- Majestic
