‘Saya hilang ibu, bapa, kakak, empat anak saudara sekelip mata…’

KOTA KINABALU: “Sehari sebelum kejadian, ibu minta saya sunting gambar bersama enam adik-beradiknya, rupanya itu permintaan terakhirnya.”

Luahan pilu Khamarul Izwan Abdul Halid, 19, tidak dapat menggambarkan kesedihan kehilangan ibu, bapa, kakak dan empat anak saudara dalam tragedi tanah runtuh di kawasan setinggan dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini, pagi tadi.

Khamarul berkata, ibunya, Husaidima Sarabani, 50-an, bersungguh-sungguh menunjukkan gambar lama bersama enam beradiknya, termasuk empat yang sudah meninggal dunia.

“Hanya tinggal tiga yang hidup termasuk ibu ketika itu, saya sangka itu permintaan biasa dan belum sempat saya buat… tak sangka itu tanda pemergiannya,” katanya yang sebak ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khamarul yang kehilangan ibu dan bapanya, Abdul Halid Darak, 50-an, dalam tragedi itu, kali terakhir menerima pesanan WhatsApp ibunya pada jam 9.14 pagi, mengingatkan supaya berhati-hati ketika banjir.

“Saya balas tapi hanya tanda biru kelihatan, tiada jawapan. Itu perbualan terakhir kami,” katanya.

Khamarul menerima panggilan daripada sepupu memaklumkan rumah keluarganya ranap ditimbus tanah runtuh.

“Saya dan adik yang terselamat bergegas pulang, bantu menggali timbunan tanah bersama jiran sebelum pasukan penyelamat tiba.
“Jasad ibu ditemui sekitar jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tujuh sekeluarga maut selepas rumah mereka ditimbus tanah runtuh dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini.

Selain Husaima dan suaminya Abdul Halid, lima lagi yang terkorban ialah Maslina Abdul Halid, 29; dan tiga anaknya iaitu Mohd Noriman Abdullah, 9; Siti Khadijah, 4, Mohd Ilham, 2, dan dan sepupu mereka, Mohd Izzan Gandi, 7. – BH

More From Author

Dua beradik antara lima mangsa ditemui tertimbus

Hidupkan Pendekar Madani di sekolah, IPT – PM