JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta memberi penjelasan tentang kekeliruan dan persoalan yang timbul berkaitan sistem subsidi bersasar RON95 atau BUDI Madani RON95 (BUDI95) yang bakal dilaksana hujung bulan ini.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd. Ridhwan Othman berkata, kebanyakan maklumat tentang BUDI95 tidak jelas.
“Mengapa mereka yang tidak layak di bawah program BUDI95 perlu membayar RM2.60 seliter sedangkan harga asal sebelum ini ialah RM2.05 seliter,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Justeru, kerajaan diminta memberi penjelasan kerana harga itu hanyalah subsidi bersasar dan bukan harga sebenar pasaran.
“Bagi kumpulan yang tidak layak termasuk isi rumah berpendapatan tinggi (T20), serta bukan warganegara, harga yang perlu dibayar ialah RM2.60 seliter, iaitu kadar tanpa subsidi.
“Langkah itu menurut Kementerian Kewangan bertujuan memastikan bantuan kerajaan lebih adil dan tertumpu kepada mereka yang benar-benar memerlukan selain mengurangkan ketirisan subsidi.
“Namun persoalan kekal bermain dalam fikiran rakyat, apakah wajar harga subsidi ditarik, sehingga segelintir rakyat perlu menanggung RM2.60 seliter tatkala kos sara hidup terus menekan kehidupan rakyat masa kini,” soalnya. – Majestic