Arteta puji impak Saliba bantu pasukan

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji konsistensi dan kematangan William Saliba yang kini dilaporkan semakin hampir menandatangani kontrak baharu bersama The Gunners.

Pertahanan kebangsaan Perancis itu masih mempunyai kontrak sehingga 2027, namun difahamkan sudah bersetuju untuk menyambung kontrak lima tahun lagi walaupun turut menarik minat daripada gergasi Sepanyol, Real Madrid.

“Harapnya berita baik itu akan diumumkan tidak lama lagi, termasuk oleh Arsenal sendiri. Itu yang saya tunggu,” kata Arteta menjelang aksi menentang Newcastle United di St James’ Park, Ahad ini.

Saliba menyertai Arsenal pada 2019 tetapi hanya muncul sebagai tonggak utama selepas beberapa siri pinjaman sebelum benar-benar menyerlah pada musim 2022/2023.

Sejak itu, pemain berusia 24 tahun itu menjadi nadi utama benteng Arsenal bersama Gabriel Magalhaes, menjadikan mereka antara gandingan pertahanan tengah terbaik di Eropah dan membantu Arsenal muncul pencabar utama kejuaraan.

“Dia sangat penting dalam segala yang kami capai sejak beberapa tahun lalu.

“Lihat sahaja bagaimana pemain ini berkembang, bukan sahaja konsisten, malah semakin matang dari segi peribadi dan peranannya dalam pasukan. Dia benar-benar tonggak utama,” kata Arteta.

Arsenal yang menamatkan tiga musim terakhir di tangga kedua Liga Perdana Inggeris kini sudah ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Liverpool, selepas hanya lima perlawanan.

Lebih membimbangkan, Arsenal tewas dalam tiga kunjungan terakhir ke St James’ Park dan Arteta sedar pasukannya perlu bangkit menamatkan rekod buruk itu.

“Untuk bermain di sana memang mencabar tetapi juga peluang besar. Kami tahu ujian menanti, jadi pasukan perlu lebih efisien berbanding sebelum ini jika mahu menang di tempat lawan,” jelas pengendali Sepanyol itu.

Dalam perkembangan lain, Arsenal mungkin dapat menurunkan kapten, Martin Odegaard yang pulih daripada kecederaan bahu, tetapi tonggak baharu, Noni Madueke dijangka diketepikan sehingga dua bulan selepas mengalami kecederaan lutut. – AFP

More From Author

BUDI95: Kerajaan perlu beri penjelasan, banyak kekeliruan – Perimau

Kawasan setinggan terbesar Asia di Mumbai bakal diroboh