360 juta strim kalah pada 12 juta, Yuji pertikai AIM 24

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Yuji, meluahkan rasa terkilan apabila lagu hitnya, Old Love bersama Putri Dahlia, gagal meraih trofi Lagu Paling Tinggi Distrim pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, Sabtu lalu.

Yuji mendakwa dia sukar memahami keputusan juri yang memilih lagu Masing Masing dendangan Ernie Zakri, biarpun Old Love mencatatkan jumlah strim jauh lebih tinggi.

“Lagu saya Old Love mencapai 360 juta strim di Spotify, tetapi AIM memberikan anugerah kepada lagu yang hanya meraih 12 juta strim untuk kategori ‘Lagu strim terbanyak Malaysia’.

“Sejujurnya, saya tidak marah pada Ernie Zakri, cuma saya tidak faham mengapa RIM dan AIM tidak memberikan kemenangan itu kepada Old Love,” tulisnya menerusi hantaran di Threads.

Bagaimanapun, Yuji yang sinonim dengan karya berbahasa Inggeris menegaskan, dia sama sekali tidak menyimpan rasa cemburu atau marah terhadap pemenang kategori itu.

Sebaliknya, katanya, persoalan yang dibangkitkan hanyalah untuk mendapatkan penjelasan mengenai kriteria penjurian AIM.

Dalam acara kemuncak AIM 24, lagu Masing Masing ciptaan Ade Govinda yang dipersembahkan Ernie diumum pemenang kategori Lagu Paling Tinggi Distrim.

Sementara itu, Old Love turut tersenarai dalam Top 5 kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, namun trofi berkenaan menjadi milik Daiyan Trisha menerusi lagu My Home Is In Your Arms. – BH

More From Author

Siasatan PBB dapati pegawai kanan Israel cetuskan hasutan genosid di Gaza

PIS rai 1,143 graduan