JOHOR BAHRU: Seramai 1,143 graduan dalam pelbagai bidang menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ke-30 di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, PIS pada hari ini dan esok.
Pengarah PIS, Ulaimi Yahya berkata, pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 29 graduan menerima ijazah sarjana muda, 1,098 graduan menerima diploma dan 16 mendapat sijil kemahiran.
Ulaimi memberitahu, majlis itu turut meraikan penerima Anugerah Graduan Cemerlang yang dipilih daripada setiap jabatan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik, kokurikulum serta kepimpinan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.

Penganjuran konvokesyen kali ini bukan sahaja menandakan pencapaian penting para graduan, malah menjadi bukti komitmen PIS dalam melahirkan modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi serta bersedia menyumbang dalam pembangunan negara selaras dengan agenda Malaysia Madani.
Sejak ditubuhkan pada 1998 hingga kini, PIS telah berjaya melahirkan seramai 38,679 graduan dalam pelbagai bidang pengajian.

Majlis perasmian konvokesyen kali ini akan disempurnakan oleh Ahli Majlis dan Pengerusi CiDe, Majlis Rekabentuk Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin. – Majestic
