TRW terus dirundung malang

KUALA LUMPUR: ‘Nasib malang’ tampak terus menimpa bola sepak Kelantan selepas Kelantan The Real Warriors FC (TRW FC) belum lagi dapat mendaftarkan pemain baharu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya, minggu depan.

Ini kerana TRW FC masih lagi berdepan sekatan pendaftaran pemain baharu yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung baki satu lagi kes yang sudahpun mendapat keputusan di peringkat badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Bagaimanapun, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan pasukan itu masih boleh beraksi dalam Liga M dengan menggunakan pemain sedia ada berdasarkan senarai pendaftaran sebelum ini.

“Buat masa ini, Kelantan The Real Warriors masih dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA dan hingga sekarang masih belum boleh mendaftarkan pemain-pemain.

“Buat masa ini, mereka perlu menggunakan pendaftaran sedia ada, apa yang sudah didaftarkan sebelum ini.

“Saya pun sedia maklum, kita pun berhubung rapat dengan pasukan TRW FC. Sebelum ini ada dua (kes) pemain yang (sebabkan) sekatan perpindahan namun sekarang hanya tinggal satu saja.

“Selepas perkara ini diselesaikan, maka mereka sudah mula boleh membuat pendaftaran pemain-pemain yang baharu,” katan Shazli.

Dalam perkembangan lain, TRW FC terus terpalit kontroversi selepas bekas pemain import Kelantan, Mohamad Ghaddar menyelar sikap tidak tidak professional ditunjukkan Presiden kelab, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Irwan Rizal.

“Saya datang ke sini (Kelantan) dengan komitmen penuh untuk membantu kelab dan presidennya. Malah menggunakan wang saya sendiri untuk membawa pemain Syria itu (Moaiad Alkhouli), percaya dengan projek yang mereka janjikan.

“Malangnya, ini ternyata menjadi salah satu pengalaman terburuk yang saya alami dalam bola sepak. Presiden tidak jujur dan membuat banyak janji palsu. Sekarang dia dan CEO sudah berhenti membalas mesej saya.

“Pihak pengurusan menunjukkan profesionalisme sifar, gagal untuk memuktamadkan tandatangan dan meninggalkan saya untuk menangani akibatnya,” katanya menerusi InstaStory. – BH

More From Author

Kes Zara Qairina: Setiausaha Politik KPDN buat laporan polis susulan fitnah di media sosial

23 Ahli Majlis hilang kepercayaan terhadap Datuk Bandar Pasir Gudang