Kes Zara Qairina: Setiausaha Politik KPDN buat laporan polis susulan fitnah di media sosial

KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Ghazali Hajiji, membuat laporan polis susulan hantaran bersifat fitnah yang mengaitkan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, dengan kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Ghazali berkata, laporan terbabit dibuatnya terhadap pemilik akaun laman media sosial Tik Tok yang menggunakan nama saka_merah7.

Susulan itu, beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform menyebarkan fitnah, khususnya mengaitkannya dengan insiden malang orang lain

“Saya membuat satu laporan polis berkenaan hantaran di TikTok, yang berbaur fitnah dengan niat jahat terhadap Datuk Armizan oleh individu dengan profile saka_merah7 yang mengaitkan beliau dengan insiden malang membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.

“Sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri KPDN, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan fitnah dan tuduhan palsu ini tidak terus tersebar dengan penafian yang jelas.

“Dalam keluarga Allahyarhamah menghadapi dugaan yang amat berat ini, tidak perlulah ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menabur fitnah bagi tujuan politik.

“Landskap politik Sabah cukup matang, tidak perlu kita pergi begitu rendah sehingga ke tahap ini. Cukup-cukuplah, kita lebih baik daripada ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Ghazali berkata, selain membuat laporan polis, beliau juga membuat laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung fitnah yang dilemparkan itu. – BH

More From Author

Saya akan pantau, cuba selesaikan segera isu air – Tunku Mahkota Ismail

TRW terus dirundung malang