STR Fasa 3 dibayar mulai esok

KUALA LUMPUR: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan disalurkan mulai 12 Ogos ini sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

STR Fasa 3 melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion, dengan 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025.

“Peningkatan ini hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.

“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.

“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pembayaran akan dibuat kepada penerima melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. – Majestic

More From Author

JSJ Bukit Aman ambil alih siasatan kes Zara Qairina

Rumah saksi Guan Eng disamun: Polis sahkan tiada kaitan kes yang sedang dibicarakan