Rumah saksi Guan Eng disamun: Polis sahkan tiada kaitan kes yang sedang dibicarakan

SEPANG: Polis mengesahkan kes pecah rumah saksi utama kes rasuah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Rabu lalu tiada kaitan dengan kes perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini kes itu kekal diklasifikasikan sebagai insiden jenayah.

Katanya, seramai 16 individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Polis juga sudah membuat siasatan dan susulan di tempat kejadian namun masih belum menemui sebarang petunjuk berhubung suspek yang terbabit.

“Setakat ini, masih belum ada tangkapan dilakukan dan mengikut laporan terdapat beberapa barangan berharga milik mangsa dilarikan,” katanya pada sidang media Kejayaan Polis Mematahkan Penyeludupan Rokok Tanpa Cukai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua IPD Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman.

Pada 6 Ogos lalu, dilaporkan saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh kediamannya di Petaling Jaya.

Mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan selepas penyerang masuk ke dalam kediamannya dengan bersenjatakan parang dan kerugian dianggarkan bernilai RM300,000.

Sementara itu, dalam kes penyeludupan rokok, Shazeli berkata, pada 3 Ogos lalu polis berjaya merampas 28,300 karton rokok tidak sah dari pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM13 juta tanpa cukai kastam.

Katanya, rampasan dilakukan kira-kira jam 2.30 petang membabitkan sebuah lori di plaza tol Maju Expressway (MEX) KualaLumpur-Putrajaya dan berjaya menahan dua lelaki iaitu pemandu dan kelindan lori berusia 36 dan 38 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil semakan mendapati kedua-dua orang kena tahan (OKT) mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 (yang mana lebih besar),” katanya. – BH

More From Author

STR Fasa 3 dibayar mulai esok

Nenek hilang dipercayai jadi korban buaya