Saman Waytha Moorthy: Tak timbul isu Anwar hilang kelayakan sebagai PM – AGC

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tak timbul sebarang isu hilang kelayakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri susulan tindakan undang-undang difailkan oleh P Waytha Moorthy.

AGC dalam kenyataan memberitahu, Perintah Pengampunan yang dititahkan Yang Di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.

“Oleh yang demikian, tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

“Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

“Hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Waytha Moorthy yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak berperlembagaan, terbatal dan tak sah.

AGC pada masa sama mengambil maklum laporan media berkenaan tindakan mahkamah yang telah difailkan oleh Waytha Moorthy terhadap Anwar bagi mencabar kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Perdana Menteri.

“Asas kepada tindakan tersebut adalah pengampunan yang telah diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-15 tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan ini menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di Mahkamah.

“Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar bin Ibrahim v Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa YDPA mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman,” katanya lagi. – Majestic

More From Author

Ramai ahli UMNO bakal dipecat?

Dayang, Aina dan Ernie monopoli AIM 24