KUALA LUMPUR: Aura tiga diva tersohor iaitu Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Ernie Zakri menyerlah apabila masing-masing meraih sembilan pencalonan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, lantas mendahului senarai artis bolos Top 5 tertinggi pada edisi kali ini.
Dayang membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila dalam kategori Rakaman Lagu Terbaik menyaksikan dua lagu dendangannya bolos. Bagi kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu, tiga lagu Dayang diumum Top 5.
Lebih membanggakan apabila dua lagu dendangannya menembusi senara kategori Album Terbaik. Dayang juga memperoleh masing-masing satu pencalonan bagi kategori Rakaman Album Terbaik dan Lagu Tradisonal Terbaik.
Aina yang julung kali dicalonkan dalam AIM mencipta sejarah peribadi dengan sembilan pencalonan merangkumi Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik, Album Terbaik yang membabitkan dua pencalonan.
Penyanyi berimej unik itu turut tercalon dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama serta Vokal Wanita Terbaik.
Ernie kukuh dalam kelompok vokalis wanita terbaik negara apabila turut mendominasi senarai dengan sembilan pencalonan termasuk Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.
Penyanyi lagu Masing-Masing itu turut menembusi senarai pencalonan menerusi kategori Rakaman Lagu Terbaik, Video Muzik Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.
Bukan itu sahaja, nama besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Hazama juga membuktikan mereka masih berbisa apabila masing-masing menerima enam pencalonan.
Ketua Juri AIM 24, Datuk Mokhzani Ismail, berkata proses penjurian yang dibahagikan kepada tiga fasa sejak Julai lalu menerima sebanyak 862 penyertaan bagi 30 kategori dipertandingkan.
Beliau berkata, proses penilaian dilakukan secara telus bersama 132 juri lain yang merangkumi komposer, penulis lirik, pengarah video, grafik serta pelbagai pakar lain.
“Saya beri kebebasan penuh kepada juri untuk menilai tanpa pengaruh atau tekanan. Setiap karya didengar sepenuhnya dan semua juri dipilih berdasarkan kepakaran masing-masing.
“Saya puas hati dengan gerak kerja dan komitmen mereka. Kami beri ruang kepada juri untuk dengar keseluruhan naskhah supaya penjurian lebih telus,” katanya pada sidang media pengumuman Top 5 AIM 24 di ibu negara, hari ini.
Mokhzani berkata, tiada juri dibenarkan menilai karya sendiri bagi memastikan integriti proses kekal terpelihara.
“Tugas saya memastikan juri setiap kategori tidak terlibat dalam mana-mana naskhah, lagu atau album yang mereka jurikan. Itu sangat penting kerana ia membabitkan integriti,” jelasnya.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 24, Rosmin Hashim, menjelaskan proses pemarkahan dikendalikan badan bebas, Maccom Management Services Sdn Bhd, sebelum diumumkan secara rasmi.
“Mereka kumpul semua pemarkahan dan akan berikan semua pemarkahan kepada juruaudit bebas untuk buat perkiraan markah.
“Apa yang dipersembahkan hari ini adalah calon Top 5 yang dapat markah tinggi. Pada 13 September depan akan umumkan siapa dapat markah tertinggi sebagai pemenang AIM 24,” katanya.
Majlis kemuncak AIM 24 bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands dan disiarkan secara langsung di TV2 pada 13 September depan. – BH
