KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang dirangka khas bagi melindungi lebih sejuta pekerja sektor ekonomi gig di negara ini dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, Khamis depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bacaan kedua dan ketiga dijangka berlangsung pada 26 Ogos dengan harapan undang-undang berkenaan diluluskan sebelum akhir persidangan.
“Pelaksanaan ini YB Steven Sim sebutkan tadi pada bulan ini juga, bacaan RUU Pekerja Gig dibentang 14 Ogos untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat.
“Speaker akan tanya bacaan kali kedua bila 26 Ogos, masa itulah akan dibacakan secara terperinci, diperbahaskan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas itu diundi.
“Undi ini tidak perlu dua pertiga majoriti tetapi (cukup) majoriti mudah,” katanya pada sesi Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia di World Trade Centre (WTC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Sementara itu, kerajaan akan mengadakan satu libat urus bersama pihak majikan dan pekerja gig pada 30 Ogos ini bagi memperluas kerjasama dan memperkukuh persefahaman bersama dalam RUU berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam sidang media berkata, kerajaan akan terus menggiatkan kempen kesedaran secara besar-besaran bagi memastikan lebih ramai pekerja gig mencarum dalam skim perlindungan sosial di bawah
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berikutan kadar pencaruman dalam golongan itu masih rendah.
“Daripada 1.12 juta pekerja gig, hanya 188,000 dari sektor p-hailing dan 132,000 dari sektor e-hailing yang mencarum. Ertinya, ramai lagi masih belum mencarum.
“Kita harap ada satu kempen secara besar-besaran yang akan terus dilakukan Perkeso.
“Saya yakin kempen kesedaran ini insya-Allah dapat memberikan kesedaran kepada setiap individu dalam pelbagai sektor itu untuk melakukan caruman,” katanya. – BH
